DUBAI: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan gabungan 10 negara untuk menamatkan serangan peluru berpandu dan dron kumpulan Houthi ke atas kapal yang transit di Laut Merah.
Britain, Perancis, Bahrain dan Itali antara negara yang menyertai `inisiatif keselamatan multinasional itu’.
“Negara-negara yang mahu mempertahankan prinsip asas kebebasan pelayaran harus bersatu untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh kumpulan tersebut,” kata Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin dalam kenyataan.
Kumpulan Houthi disokong Iran meningkatkan serangan ke atas kapal tangki, kapal kargo dan kapal lain di Laut Merah sekaligus menjejaskan laluan transit yang membawa sehingga 12 peratus perdagangan global.
Menurut Austin, gabungan keselamatan itu akan beroperasi `dengan matlamat memastikan kebebasan navigasi untuk semua negara dan memperkukuh keselamatan dan kemakmuran serantau’.
Katanya, ia merangkumi AS, United Kingdom (UK), Bahrain, Kanada, Perancis, Itali, Belanda, Norway, Seychelles dan Sepanyol.
Sebelum ini, kumpulan Houthi mengesahkan pasukannya menyerang dua kapal `dikaitkan dengan Israel’ di Laut Merah sebagai solidariti dengan Gaza.
Ia berlaku ketika lebih banyak syarikat menghentikan transit melalui laluan air tersebut.
Serangan ke atas Swan Atlantic milik Norway dan sebuah lagi kapal dikenal pasti sebagai MSC Clara merupakan yang terbaharu dalam insiden maritim yang mengganggu perdagangan global dalam usaha untuk menekan Israel berhubung pertempurannya terhadap Hamas.
Kumpulan Houthi menerusi kenyataan memaklumkan pasukannya melaksanakan `operasi ketenteraan terhadap dua kapal yang dikaitkan dengan entiti Zionis’ menggunakan dron tentera laut.
Houthi berikrar untuk `terus menghalang semua kapal yang menuju ke pelabuhan Israel daripada mengemudi di Laut Aran dan Laut Merah’ sehingga lebih banyak bekalan makanan dan ubat dibenarkan masuk ke Gaza. – AFP