Zionis rancang pindahkan penduduk Gaza ke Sinai selepas perang tamat

Zionis rancang pindahkan penduduk Gaza ke Sinai selepas perang tamat

IMEJ satelit yang disiarkan NASA menunjukkan wilayah Palestin, Israel dan Semenanjung Sinai. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Media Israel mendedahkan tentera Zionis kini dalam perancangan untuk memindahkan penduduk awam di Gaza ke Semenanjung Sinai selepas perang bagi membolehkan mereka menawan wilayah tersebut.

Perkara itu didedahkan menerusi satu dokumen yang mengandungi usul untuk memindahkan kesemua penduduk Gaza ke ‘bandar khemah’ buat sementara waktu sebelum berpindah ke bandar tetap yang dibangunkan di kawasan Sinai Utara.

Usul tersebut yang dibentangkan pada 13 Oktober lalu turut mengandungi perancangan untuk menubuhkan zon penampan beberapa kilometer di dalam Mesir yang menyaksikan penduduk Gaza tidak boleh keluar dari kawasan tersebut.

Kementerian Perisikan Israel juga mengesahkan kewujudan dokumen tersebut namun menurut seorang pegawai, usul itu mungkin tidak akan dilaksanakan.

‘KELUAR DARI PERANG’

Biarpun tindakan itu akan menerima kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk komuniti antarabangsa, Israel menegaskan pemindahan tersebut merupakan langkah terbaik untuk ‘mengeluarkan penduduk Gaza daripada konflik peran’.

Mesir sebelum ini sudah beberapa kali menolak untuk membenarkan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal masuk ke wilayahnya dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi menegaskan perkara tersebut kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Pada awal bulan ini, bekas Timbalan Menteri Luar Israel, Danny Ayalon berkata, rakyat Palestin di Gaza perlu berpindah dari rumah mereka dan ditempatkan di Gurun Sinai bagi membolehkan tentera Zionis mengebom semua sasaran Hamas, sekali gus membanteras kumpulan pejuang tersebut.

ENGGAN GENCATAN SENJATA

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan beliau sesekali tidak akan bersetuju dengan desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melakukan gencatan senjata.

Katanya, langkah itu ibarat menyerah kalah kepada Hamas.

“Gesaan gencatan senjata umpama meminta Israel menyerah kalah kepada Hamas, menyerah kalah kepada pengganas.

“Perkara itu tidak akan berlaku dan Israel akan bertempur sehingga menang,” katanya.

Selain Israel, Amerika Syarikat (AS) juga menolak untuk melakukan gencatan senjata.

“Kami rasa gencatan senjata bukan langkah terbaik dalam mengakhiri konflik ini,” ujar jurucakap Majlis Keselamatan AS, John Kirby.

BANTUAN TIDAK CUKUP

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengeluarkan amaran mengenai bilangan konvoi bantuan yang memasuki Gaza tidak mencukupi untuk memenuhi ‘keperluan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelumnya’ di wilayah itu.

“Segelintir konvoi yang dibenarkan melalui Rafah tidak mencukupi, berbanding dengan keperluan lebih dua juta orang yang terperangkap di Gaza,” kata Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), merujuk kepada sempadan antara Gaza dan Mesir.

Israel Zionis melancarkan kempen pengeboman besar-besaran ke atas Gaza dan meratakan ribuan bangunan dengan menurut Kementerian Kesihatan Palestin, ia membunuh lebih 8,000 orang, yang juga kebanyakannya orang awam.

Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, sejumlah 33 trak yang membawa air, makanan dan bekalan perubatan sudah memasuki Gaza melalui Rafah kelmarin.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

LINDUNGI PENDUDUK TEBING BARAT

Dalam perkembangan berkaitan, Jerman mendesak Israel supaya ‘melindungi’ rakyat Palestin di Tebing Barat beikutan peningkatan serangan oleh penduduk Yahudi sejak konflik bermula awal Oktober lalu.

Lebih 100 orang rakyat Palestin maut di tebing Barat sejak konflik berlaku dengan kebanyakannya terbunuh akibat serbuan tentera Zionis dan diserang penduduk Yahudi.

Jerman mengecam tindakan tersebut dan menggesa supaya semua keganasan terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat dihentikan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya