BAITULMUQADDIS: Tentera Israel, semalam mendakwa sudah mengepung Bandar Gaza di Semenanjung Gaza, susulan serangan balas mereka ke atas Palestin selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Kemaraan tentera Israel ke Bandar Gaza bagaimanapun dapat disekat pejuang Hamas melalui serangan hendap dari rangkaian terowong bawah tanah di wilayah itu.
Bandar di utara Semenanjung Gaza itu menjadi tumpuan Israel dalam melancarkan serangan habis-habisan bagi mencapai misi memusnahkan markas pentadbiran Hamas, selepas mengarahkan orang awam melarikan diri ke selatan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata rejim itu kini berada di puncak pertempuran dan tidak akan berhenti sehingga ‘Hamas musnah sama sekali’.
“Kami mencapai kejayaan yang mengagumkan dan berjaya melepasi pinggir bandar Gaza. Kami sedang maju ke depan,” katanya dalam kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut.
Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, berkata pasukannya sudah menyelesaikan tindakan mengepung Kota Gaza yang menjadi pusat tumpuan pertubuhan Hamas.
Ketua jurutera tentera Israel, Brigedier Jeneral Iddo Mizrahi, pula berkata anggota rejim itu masih berdepan risiko membabitkan serangan periuk api dan jerangkap samar.
“Hamas nampaknya sudah melakukan persiapan dengan baik,” katanya.
Sebelum ini, Israel menyatakan sudah kehilangan 18 askar dan membunuh puluhan pejuang Hamas sejak operasi darat diperluaskan bermula Jumaat lalu.
Sementara itu, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Ubaida, berkata jumlah kematian Israel di Gaza adalah jauh lebih tinggi daripada yang diumumkan tentera.
“Tentera Israel hanya akan kembali ke wilayah haram mereka dalam beg mayat hitam,” katanya.