Zionis dakwa rampas kawalan di utara Gaza, tawan bangunan

Zionis dakwa rampas kawalan di utara Gaza, tawan bangunan kerajaan

TENTERA Israel menjalankan operasi menggempur Hamas di utara Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera Israel mendakwa merampas kawalan lebih luas di utara Gaza termasuk menawan bangunan badan perundangan wilayah itu serta ibu pejabat polis.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin menggesa gencatan senjata untuk memindahkan puluhan bayi baru lahir dan pesakit yang terperangkap di dalam hospital terbesar di Gaza ketika tentera Israel menggempur Hamas di kemudahan itu.

Rejim Zionis dilaporkan mengangkat bendera Israel dan bendera tenteranya di dalam beberapa bangunan yang ditawan sebagai tanda meraikan kemenangan mereka di kawasan itu.

Menerusi satu sidang media, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, Hamas hilang kawalan di utara Gaza dan Israel memperoleh kemenangan besar di Gaza City.

Seorang komander Israel di Gaza, yang hanya dikenali sebagai Lt. Kol. Gilad dalam satu video berkata, tenteranya berhampiran Hospital al-Shifa merampas bangunan kerajaan, sekolah dan bangunan kediaman di mana mereka menemui senjata dan menghapuskan pejuang.

Gilad turut mendakwa tentera Israel sudah menawan badan perundangan, ibu pejabat polis Hamas dan kompaun yang menempatkan ibu pejabat perisikan tentera Hamas.

Bangunan-bangunan itu memiliki simbol yang kuat, tetapi nilai strategiknya masih tidak jelas dengan pejuang Hamas dipercayai ditempatkan di kubu bawah tanah.

Selama beberapa hari, tentera Israel mengepung Hospital al-Shifa yang dikatakan menjadi lokasi kumpulan pejuang bersembunyi dan menggunakan orang awam sebagai perisai.

Menafikan dakwaan itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, pihaknya sudah menjemput organisasi antarabangsa untuk menyiasat kemudahan itu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra berkata, pihaknya bercadang mengosongkan hospital dengan penyeliaan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan memindahkan pesakit ke hospital di Mesir, tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Walaupun Israel menyatakan bersedia untuk membenarkan kakitangan dan pesakit berpindah, beberapa warga Palestin yang berjaya keluar berkata, rejim Zionis masih melepaskan tembakan ke arah mangsa yang dipindahkan.

Selepas beberapa hari tanpa peti sejuk, kakitangan bilik mayat pada hari Selasa menggali kubur besar di halaman kemudahan tersebut untuk mengebumikan lebih 120 mayat.

Kerajaan Israel mengakui tidak tahu apa yang akan dilakukan dengan wilayah itu selepas kekalahan Hamas.

Hampir keseluruhan penduduk Gaza memenuhi selatan wilayah kecil itu, di mana keadaan semakin merosot selepas pengeboman berterusan memusnahkan banyak kemudahan di kawasan itu.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya