TEL AVIV: Israel dengan angkuh mendakwa Hamas sudah lagi tidak berkuasa di Semenanjung Gaza selepas pasukan tenteranya menawan Gaza City.
Perkara itu disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Yoav Gallant selepas membuat penilaian terhadap perang yang tercetus.
“Hamas tidak mempunyai kekuatan untuk menghentikan IDF (Tentera Israel). IDF menuju ke semua lokasi. Hamas sudah hilang kawalan terhadap Gaza.
“Mereka (penduduk Gaza) juga sudah tidak percaya dengan Hamas,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap IDF, Daniel Hagari pula memaklumkan rejim Zionis menemukan bukti menunjukkan tebusan ditahan di Hospital Rantisi, Gaza City ketika serbuan dilakukan di fasiliti kesihatan berkenaan.
Selain itu, katanya, tentera Zionis turut membunuh sekumpulan lelaki yang melepaskan tembakan ke arah IDF dari sebuah lagi hospital di Gaza City.
Jelas Hagari, beberapa komander Hamas juga dibunuh dalam serangan udara beberapa hari lalu, selain memperincikan usaha menghapuskan anggota kumpulan pejuang itu di lapangan dan mengganggu operasi Hamas di Semenanjung Gaza, sejak beberapa minggu lalu.
IDF mendakwa, antara pegawai kanan Hamas yang dibunuh ialah Komander Kumpulan Peluru Berpandu antikereta kebal dalam Briged Khan Younis, Yakub Ashur.
IDF juga mendakwa veteran dan bekas Ketua Perisikan Hamas, Hamis Dababash; Ketua Operasi Khas Hamas di Beit Lahia, Tahsin Maslam; Pegawai Risikan Hamas di kejiranan Zeitoun, Bandar Gaza Jihad Azam dan Ketua Maklumat Briged Rafah, Munir Harb, turut dibunuh dalam serangan berasingan.