WASHINGTON: White House mengecam tindakan hartawan terkemuka, Elon Musk yang menyokong satu hantaran bersifat anti-Semitik yang dimuat naik oleh warganet di aplikasi X.
Tindakan pemilik platform X itu turut menyebabkan beberapa syarikat besar Amerika Syarikat (AS) termasuk Walt Disney Co, Warner Bros Discovery dan Comcast menghentikan sementara pengiklanan mereka di laman sosial tersebut.
Rabu lalu, Musk bersetuju dengan hantaran seorang warganet di aplikasi X yang mendakwa bahawa orang Yahudi menghasut kebencian terhadap orang kulit putih.
Musk berpandangan warganet yang merujuk teori konspirasi Great Replacement menyatakan kebenaran sebenar.
Teori konspirasi itu mendakwa orang Yahudi dan fahaman haluan kiri sedang melakukan penggantian etnik populasi kulit putih dengan migran bukan kulit putih yang akan menyebabkan `pembunuhan beramai-ramai warga kulit putih’.
White House mengecam dan menuduh Musk menggalakkan kebencian anti-Semitik dan perkauman.
Malah, White House menegaskan perbuatan hartawan itu bertentangan dengan prinsip dan nilai diamalkan rakyat Amerika.
“Pembohongan itu tidak boleh diulangi lagi, kira-kira sebulan selepas hari paling menyedihkan bagi orang Yahudi sejak Holocaust,” kata jurucakap White House, Andrew Bates merujuk kepada serangan mengejut kumpulan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu. – REUTERS