NEW YORK: Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) tular dalam media sosial selepas menayangkan kalung dengan loket yang mengandungi darah kekasihnya.
Menerusi video yang dikongsi di laman TikTok, Dani Apples mendedahkan kekasihnya pergi ke pameran barangan aneh di bandar dan melawat gerai yang membuat aksesori wanita.
Apples kemudian dilihat begitu teruja apabila teman lelakinya menghadiahkannya kalung dengan loket berbentuk hati sebelum menyarungkannya di leher.
“Teman lelaki saya pergi ke tukang pembuat barang kemas unik untuk mendapatkan rantai yang diperbuat daripada darahnya.
“Nasib baik teman lelaki saya tidak takut jarum jadi dia tenang sahaja ketika darahnya diambil.
Inilah hasilnya yang sangat menawan dan saya amat menyukainya,” kata Apples dalam video tersebut.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warga net yang rata-rata melihatnya sebagai sesuatu yang pelik.
Sesetengah pengikut Apples menganggap kalung itu sebagai hadiah yang hebat sementara yang lain mempersoalkan sama ada amalan sebegitu sah di AS.
Terdapat juga yang menyifatkannya sebagai amalan sihir dan khuatir tentang dari mana asal sampel darah untuk membuat perhiasan lain yang dipamerkan di kedai aksesori tersebut.-AGENSI