AMSTERDAM: Seorang tukang masak dari Belanda yang ingin mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerjanya dengan cara istimewa dilaporkan menyediakan kek yang diadun dengan ganja untuk mereka sebagai kejutan.
Tukang masak yang hanya dikenali sebagai Mariska, pernah menyatakan keinginan untuk menyediakan kek seperti itu bersama rakan-rakannya yang bekerja di hotel Zeeland tetapi tidak pernah berpeluang melakukannya.
Justeru, wanita itu memutuskan untuk membuat kek tersebut sebagai hadiah perpisahan sempena hari persaraannya.
Pada hari terakhir bekerja 8 Februari lalu, Mariska meninggalkan kek kejutan itu kepada rakan-rakannya bersama nota menasihati mereka untuk hanya memakannya selepas waktu kerja.
Malangnya, rakan-rakan Mariska tidak sabar menikmati kek tersebut lebih awal sehingga dua daripada mereka dilaporkan mula berasa sangat letih, muntah dan ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan hotel.
Kedua-dua lelaki itu akhirnya mengemukakan saman terhadap Mariska berikutan hadiah perpisahan mengejutkan itu.
“Sesetengah orang bertindak balas dengan baik, tetapi bagi yang lain, ia tidak berfungsi,” kata Mariska memberitahu mahkamah dalam usaha menjelaskan dia tidak pernah berniat untuk membuat rakan sekerjanya sakit.
Penjelasan wanita itu bagaimanapun gagal meyakinkan hakim yang menyifatkan tindakan wanita itu sebagai ‘gurauan buruk yang tidak menjadi’ dan dia perlu bertanggungjawab terhadap tindakannnya itu.
Mariska tidak bersetuju dengan hukuman 60 jam perkhidmatan masyarakat yang diminta pendakwa raya dan akhirnya diarah membayar pampasan berjumlah 750 euro (RM3,819) rakan sekerjanya itu.-AGENSI