PARIS: Kumpulan pakar menasihatkan orang ramai supaya jangan mencetuskan ‘panik pandemik’ berikutan lonjakan kes penyakit pernafasan di utara China, terutamanya melibatkan kanak-kanak.
Peningkatan kes itu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan banyak pihak berhubung situasi di China, empat tahun selepas Covid-19 pertama kali dilaporkan di negara itu.
Pihak berkuasa China sebelum ini menafikan lonjakan kes itu berkaitan dengan Covid-19, sebaliknya menegaskan ia adalah gabungan virus yang sudah diketahui dan dikaitkan dengan musim sejuk.
Sehingga kini, keadaan sebenar masih belum jelas, namun pakar merumuskan jangkitan itu disebabkan oleh virus baharu.
Pihak berkuasa China juga mengaitkan peningkatan kes itu dengan berakhirnya sekatan Covid-19, ketibaan musim sejuk, dan peredaran patogen yang diketahui termasuk influenza, mycoplasma pneumonia, respiratory syncytial virus (RSV) dan SARS-CoV-2 – virus yang menyebabkan Covid-19.
Laporan itu juga mencetuskan ‘memori’ terhadap wabak itu, dengan pengguna media sosial mula gentar dengan ‘virus baharu datang dari China’ atau ‘Covid baharu’.
Beberapa pakar mencadangkan ketibaan musim sejuk, berakhirnya sekatan Covid-19 dan kekurangan imuniti awal pada kanak-kanak juga mungkin mendorong jangkitan itu meningkat.
Sehubungan itu, pakar meminta supaya masyarakat dunia kekal tenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.
Setakat ini, kumpulan pakar tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung kes jangkitan itu di China bagi membuat keputusan muktamad.