GAZA: Bayi pramatang di hospital terbesar di Gaza terpaksa dibalut dengan kain dan diletakkan di sebelah air panas dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan nyawa mereka.
Kakitangan di hospital Al-Shifa berjuang untuk memastikan bayi yang baru lahir dapat hidup selepas bekalan oksigen kehabisan dan mereka terpaksa memindahkan bayi-bayi itu dari inkubator unit neonatal ke bahagian lain di kemudahan tersebut.
“Nyawa bayi-bayi ini semakin terancam. Kami terpaksa mengeluarkan mereka dari inkubator. Kami membungkus mereka dalam kerajang dan meletakkan air panas di sebelah supaya suhu lebih panas,” kata Pengarah Al-Shifa, Dr. Muhammad Abu Salmiya kepada TV Al-Araby.
Imej menunjukkan beberapa bayi baru lahir yang dikeluarkan dari inkubator di hospital berkenaan diletakkan di satu katil dengan keadaan mereka dilihat semakin tidak bermaya.
Doktor berkata, beberapa kanak-kanak turut meninggal dunia ketika berada di unit rawatan rapi di tengah-tengah pengeboman dan sekatan berterusan Israel ke atas Gaza
Serangan udara Israel sudah membunuh lebih 11,180 orang dan sekatan bahan api mengakibatkan krisis kemanusiaan semakin buruk apabila hospital, sistem air, kedai roti dan perkhidmatan lain yang bergantung kepada elektrik kini ditutup.
Keadaan di Al-Shifa merosot menjadi situasi ‘malapetaka’ sejak semalam apabila kakitangan, pesakit dan ribuan penduduk yang berlindung terperangkap di dalam akibat pertempuran hebat di sekitar kemudahan itu.
Namun tentera Israel masih mendakwa orang ramai selamat untuk meninggalkan hospital dengan mengikuti koridor pemindahan ke arah timur.
“Di dalam hospital, tiada satu pun bilik bedah berfungsi kerana kekurangan elektrik. Ramai pesakit yang memerlukan pembedahan kini sudah meninggal dunia dan kami tidak lagi dapat melakukan apa-apa untuk menyelamatkan keadaan.
“Semakin ramai penduduk yang cedera datang kepada kami tetapi kami tidak boleh memberi mereka apa-apa selain pertolongan cemas,” kata Muhammad Abu.
RAWAT PESAKIT GUNA CAHAYA LILIN
Dalam pada itu, seorang wartawan bebas yang terperangkap dalam Hospital Al-Shifa memberitahu, terdapat puluhan mayat masih belum dapat dikebumikan kerana mereka tidak dapat keluar atau masuk dari hospital tersebut.
Katanya, petugas perubatan bertugas dengan menggunakan lilin bagi merawat pesakit, selain terpaksa mencatu makanan dan terpaksa minum air paip.
Israel pula menafikan tenteranya mengepung dan melepaskan tembakan di kawasan hospital.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sudah tiga Hospital Al-Shifa tidak mempunyai bekalan elektrik dan keadaan itu amat berisiko buat pesakit kritikal.
“Kami amat kesal kerana hospital di gaza sudah tidak mampu lagi beroperasi sedangkan jumlah penduduk yang cedera atau sakit semakin bertambah setiap hari.
“Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku di mana-mana negara,” jelas pertubuhan itu.
GUNA ALASAN HAMAS ENGGAN GENCATAN SENJATA
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan desakan dunia yang menekankan supaya gencatan senjata dilakukan bagi menghentikan perang yang tercetus sebenarnya adalah ‘kehendak Hamas’.
Netanyahu mendakwa, Hamas mahu gencatan senjata dilakukan supaya kumpulan itu terus boleh menyerang Israel.
“Dunia desak supaya gencatan senjata dilakukan segera, tapi anda tidak tahu bahawa Hamas akan gunakan situasi itu untuk terus serang Israel.
“Oleh yang demikian, tiada gencatan senjata akan dilakukan sehingga Hamas ditumpaskan,” ujarnya.
SERU ICRC DESAK ISRAEL HENTI SERANG
Menteri Kesihatan Palestin Mai Al-Kaila pada Ahad menyeru Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk mendesak Israel menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat tergempar dengan perwakilan ICRC di Baitulmuqaddis dan penyelaras hal ehwal kesihatan, lapor Agensi Anadolu.
“Situasi kesihatan semakin teruk di Semenanjung Gaza dan serangan terhadap sistem kesihatan menyebabkan hampir semua hospital terpaksa menghentikan operasi sepenuhnya.
“Tolonglah kami hentikan semua kekejaman dan kegilaan ini, kami juga manusia seperti anda, kami juga berhak jalani hidup yang lebih baik,” rayunya.