BANGKOK: Kerajaan Thailand membatalkan rancangan untuk melakukan rondaan bersama dengan polis China di kawasan pelancongan popular di negara itu.
Keputusan itu dibuat selepas cadangan tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Baru-baru ini, pegawai pelancongan mengemukakan idea antara lain mencadangkan polis China dan Thailand membuat rondaan bersama di kawasan pelancongan banyak dikunjungi untuk memulihkan semula keyakinan dalam kalangan pelancong terutamanya dari republik itu.
Bagaimanapun, pelan itu mencetuskan kekecohan di media sosial, selain dikecam menjejaskan kedaulatan negara dan ditegur oleh ketua polis negara.
“Terdapat banyak alternatif lain untuk membina keyakinan pelancong yang mengunjungi Thailand.
“Justeru, kami tidak akan melakukan rondaan bersama itu. Pasukan polis Thailand sudah mempunyai anggota mencukupi dan kini sedang berusaha untuk memulihkan keyakinan mereka,” kata Menteri Pelancongan, Sudawan Wangsuphakijkosol.
Pihak berkuasa Thailand mengetatkan kawalan keselamatan susulan insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Bangkok bulan lalu mengakibatkan dua orang maut termasuk seorang warga China.
Insiden tembakan di Siam Paragon itu menimbulkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan.
Langkah memulihkan semula keyakinan adalah penting bagi industri pelancongan Thailand terutamanya dalam kalangan pengembara China.
Thailand merekodkan kemasukan 11 juta pelancong China daripada rekod 39.9 juta ketibaan pelancong asing di negara itu pada 2019.
Namun, kemasukan pelancong China selepas pandemik Covid-19 agak perlahan sehingga menyebabkan kerajaan mengenepikan keperluan visa bagi golongan itu pada September lalu.
Setakat tahun ini, Thailand mengalu-alukan ketibaan 23.2 juta pelancong asing. – REUTERS