GAZA: Ketika perang berterusan di Gaza, semakin banyak negara mula memutuskan hubungan dengan Israel ekoran keengganan wilayah haram itu menghentikan serangan di Semenanjung Gaza sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk.
Bahrain menjadi negara terbaharu yang mengambil pendekatan tersebut apabila mengusir Duta Israel dari negara itu, selain memanggil pulang dutanya di Tel Aviv.
Parlimen Bahrain dalam kenyataan memaklumkan, hubungan ekonomi negara itu dengan Israel juga diputuskan kerana Israel ‘sedikit pun tidak kesal’ dengan serangan di Gaza.
Bahrain menjelaskan, keutamaan negara itu ketika ini adalah melindungi nyawa penduduk awam dan menolak keganasan.
Terdahulu, beberapa negara Amerika Latin juga mengambil langkah serupa, iaitu Bolivia, Chile dan Colombia.
Kesemuanya menzahirkan rasa tidak puas hati dengan Israel yang sehingga kini enggan melakukan gencatan senjata.
Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva juga dijangka mengambil langkah sama apabila beliau mengkritik serangan Israel terhadap penduduk Gaza pada minggu lalu.
“Hanya kerana Hamas lakukan serangan, tidak wajar Israel bunuh penduduk Gaza yang tidak berdosa,” katanya.
HANTAR DALAM BEG MAYAT
Briged Al-Qassam menyampaikan amaran keras yang menonjolkan keazaman tanpa henti pasukan pejuangnya menetang Israel tanpa sebarang rasa putus asa untuk mempertahankan tanah air mereka.
Jurucakap, Briged Al-Qassam, Abu Obeida malah memberi amaran kepada Israel bahawa lebih ramai tentera rejim Zionis akan kembali dengan ‘beg hitam’ dalam video terbaharu yang dikeluarkan Hamas semalam.
“Tunggu lebih ramai tentera kamu pulang dengan beg hitam. Kami akan menjadikan Gaza sebagai kutukan dan sumpahan ke atas kamu,” katanya.
Amaran komander pasukan sayap pejuang Hamas dibuat ketika Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa sudah mengepung Gaza yang menjadi pusat organisasi kumpulan pejuang itu.
“27 hari selepas bermulanya Taufan Al-Aqsa, pejuang kami terus berhadapan dengan pasukan pendudukan di barat laut Gaza, selatan, dan di Beit Hanoun selain melaksanakan serangan yang berjaya terhadap kenderaan dan tentera pendudukan.
“Kami sukar mengira operasi pejuang kami. Dalam tempoh 48 jam yang lalu, pejuang kami berjaya memusnahkan satu batalion kereta kebal dan membunuh serta mencederakan sejumlah besar tentera pasukan pendudukan menggunakan senjata anti kereta kebal, pertempuran dan dron.
“Kami melakukan serangan balas besar di paksi barat laut Gaza City, memusnahkan enam kereta kebal, dua kapal pengangkut tentera dan sebuah jentolak,” kata Abu Obeida dalam video berkenaan.
Dalam pada itu, Komander Hamas turut mencabar laporan rasmi tentang peperangan di Gaza malah menegaskan bahawa jumlah sebenar korban musuh jauh lebih tinggi daripada apa yang diakui oleh Israel.
“Jumlah kematian musuh jauh lebih tinggi daripada apa yang diumumkan oleh komando musuh. Kami berjaya mengepung di belakang barisan musuh dan menyerang mereka dari jarak dekat.
“Pengangkut tentera Namer yang dipromosikan oleh tentera Israel sebagai kenderaan paling kuat di dunia juga gagal dalam ujian pertamanya terhadap peluru kami,” jelas video itu.
ISRAEL DAKWA KEPUNG GAZA CITY
Sementara itu, tentera darat Israel mendakwa sudah berjaya mengepung kubu kuat Hamas di Gaza City semalam selepas sekutu rapatnya Amerika Syarikat (AS) menggesa langkah konkrit untuk mengurangkan korban awam.
Tentera Israel berkata, sudah melengkapkan kepungan di bandar terbesar Gaza, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perang selama sebulan menentang Hamas.
“Konsep gencatan senjata tidak ada pada masa ini sama sekali,” kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga memuji ‘kemenangannya’ setakat ini, memberitahu sekumpulan anggota elitnya bahawa tentera Israel semakin mara walaupun berdepan kehilangan yang menyakitkan.
“Kami berada di tengah-tengah kempen. Kami mempunyai kejayaan yang sangat mengagumkan.
“Kami sudah berada lebih daripada di pinggir Gaza City. Kami semakin maju ke hadapan,” katanya di pangkalan berhampiran Tel Aviv.
Tetapi lokasi itu juga merupakan rumah kepada kira-kira setengah juta rakyat Palestin yang mengalami beberapa minggu pengeboman udara, bekalan yang semakin berkurangan dan pembunuhan beramai-ramai hampir setiap hari.
Kementerian kesihatan Gaza berkata, lebih 9,000 orang terkorban akibat pengeboman Israel, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.-AGENSI