GAZA: Kereta kebal tentera Israel mengepung kawasan Hospital al-Shifa di Gaza City, bersedia menggempur premis kesihatan itu habis-habisan tanpa mengambil kira ribuan penduduk yang berlindung di dalamnya.
Alasan Israel mudah, iaitu menuduh kumpulan Hamas bersembunyi dan menjadikan hospital berkenaan sebagai kubu utama, maka mereka perlu menghancurkan sasaran secepat mungkin.
Di sebalik kegilaan Zionis melancarkan serangan demi serangan, kumpulan pejuang Hamas pula menyatakan mereka bersedia membebaskan 70 tebusan yang ditahan, terdiri daripada 70 wanita dan kanak-kanak.
Sebagai pertukaran kepada pembebasan tersebut, hamas meminta supaya gencatan senjata dilakukan selama lima hari bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar segera ke Gaza.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra yang berada di dalam al-Shifa memberitahu, seramai 32 pesakit meninggal dunia dalam tempoh tiga hari lali, termasuk tiga bayi yang baru dilahirkan.
Sekurang-kurangnya 650 pesakit terperangkap di dalam premis tersebut dan mereka perlu dipindahkan ke hospital lain dalam kadar segera.
Israel mendakwa rangkaian terowong hamas terletak di bawah binaan hospital berkenaan.
“Kereta kebal sudah mengepung kawasan hospital al-Shifa, kami terperangkap sepenuhnya.
“Semua yang berada di dalam hospital ini adalah orang awam, hanya ada doktor, pesakit, penduduk yang berlindung.
“Seseorang perlu hentikan semua ini, kami berusaha untuk kekal hidup dan bantulah kami,” kata Dr. Ahmed El Moukhallalati menerusi telefon.
GENCATAN SENJATA ATAU BEBASKAN TEBUSAN?
Dalam ada itu, Briged al-Qassam menyiarkan satu rakaman audi menerusi Telegram yang memaklumkan mereka bersedia membebaskan sejumlah tebusan dan menukarnya dengan gencatan senjata lima hari.
“Zionis minta kami bebaskan 100 wanita dan kanak-kanak, namun kami maklumkan kepada perunding yang hanya 50 daripada tebusan boleh dibebaskan dan angka itu boleh meningkat 70 orang,” kata jurucakap al-Qassam, Abu Ubaida.
Jurucakap perunding Qatar pada minggu lalu memaklumkan, Hamas turut meminta Zionis bebaskan 200 tahanan kanak-kanak dan 72 wanita Palestin yang ditahan di penjara Israel.
“Pertukaran itu termasuk gencatan senjata sepenuhnya selama lima hari dan bantuan kemanusiaan juga perlu dihantar segera di seluruh gaza,” kata jurucakap tersebut.
‘TEMPOH REHAT’ LEBIH LAMA
Selain itu, Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan memberitahu media di Washington bahawa mereka mahu ‘serangan dihentikan lebih lama, iaitu beberapa hari dan bukannya beberapa jam’.
Menurut sumber seorang pegawai AS, jika Hamas membebaskan tebusan seperti yang dijanjikan, Israel mungkin menghentikan serangan selama beberapa hari.
Zionis sebelum ini sekeras-kerasnya membantah gencatan senjata dengan alasan bimbang Hamas akan melancarkan semula serangan di wilayah haramnya.
Namun, tentera Israek melancarkan ‘tempoh rehat’ selama empat jam sehari bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dan penduduk Gaza berpindah dari utara ke selatan.
BERTEMPUR DENGAN HAMAS
Sementara itu, Israel memaklumkan tenteranya membunuh 21 pejuang Hamas dalam pertempuran di Hospital al-Quds.
Zionis mendakwa pejuang Hamas melancarkan serangan daripada pintu masuk hospital tersebut, menyebabkan mereka melancarkan serangan balas, sekali gus mengakibatkan kematian anggota Hamas.
BENDERA ISRAEL DALAM PARLIMEN GAZA
Saluran televisyen Israel, 12 TV kelmarin menunjukkan tentera Zionis membawa bendera negara haram itu ke dalam ruang parlimen Gaza.
Tindakan itu bagi menunjukkan kononnya Israel sudah menguasai Gaza dan Hamas tidak lagi berkuasa.