SEOUL: Pyongyang menegaskan akan menempatkan angkatan bersenjata lebih kuat dan senjata baharu di sempadan negaranya dengan Korea Selatan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Korea Utara, sehari selepas Seoul menggantung sebahagian perjanjian ketenteraan antara kedua-dua negara itu pada 2018, susulan bantahan terhadap pelancaran satelit pengintip Pyongyang.
Kementerian menerusi kenyataan disiarkan agensi berita KCNA, memaklumkan pihaknya akan memulihkan semua langkah ketenteraan yang dihentikan di bawah perjanjian dengan Korea Selatan.
Perjanjian itu diwujudkan bagi mengurangkan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara itu.
“Mulai sekarang, tentera kita tidak akan terikat dengan Perjanjian Tentera Korea Utara-Korea Selatan ditandatangani 19 September.
“Kami akan menarik balik semua langkah ketenteraan yang diambil untuk mencegah ketegangan dan konflik ketenteraan dalam semua bidang termasuk di darat, laut dan udara.
“Selain itu, kami juga akan menempatkan angkatan bersenjata yang lebih kuat dan aset ketenteraan baharu di rantau ini sepanjang Garisan Persempadanan Ketenteraan,” jelas kementerian.
Pelancaran satelit pada Selasa lalu merupakan percubaan kali ketiga Pyongyang tahun ini, dengan ia menyusuli lawatan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un ke Russia.
Ketika lawatan itu, Presiden Vladimir Putin berikrar untuk membantu Pyongyang membina satelit.
Pegawai Korea Selatan menyifatkan pelancaran terbaharu itu berkemungkinan melibatkan bantuan teknikal Russia dibawah perkongsian yang menyaksikan Pyongyang membekalkan Russia jutaan peluru meriam. – REUTERS