Tawanan perang Ukraine bantu Russia berperang

Tawanan perang Ukraine bantu Russia berperang

TENTERA Ukraine melepaskan tembakan roket Grad-P di barisan hadapan di kawasan Zaporizhzhia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Satu laporan media mendakwa Russia menghantar tawanan perang Ukraine ke barisan hadapan tanah air mereka untuk bertempur bagi pihak Moscow dalam konflik antara kedua-dua negara itu.

Video disiarkan agensi berita RIA Novosti menunjukkan tahanan Ukraine yang berpakaian tentera melafazkan sumpah taat setia kepada Russia dan memegang senapang untuk bertempur dalam batalion dinamakan sempena bangsawan dari zaman pertengahan, Bogdan Khmelnitsky.

Bogdan Khmelnitsky dilihat sebagai wira negara di Russia kerana berjaya membawa sebahagian Ukraine di bawah kawalan Moscow pada abad ke-15.

Laporan RIA Novosti mendakwa batalion itu mula berkhidmat pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Associated Press tidak dapat mengesahkan kesahihan laporan atau video dikeluarkan oleh agensi berita itu.

Setakat ini, tentera Ukraine, pegawai hak asasi manusia dan Kementerian Pertahanan Russia masih belum memberi sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, beberapa pakar menyifatkan tindakan sedemikian jelas melanggar Konvensyen Geneva berkaitan layanan terhadap tawanan perang.

Konvensyen itu melarang tawanan perang daripada terdedah kepada pertempuran atau bekerja dalam keadaan tidak sihat atau berbahaya sama ada secara dipaksa atau tidak.

“Pihak berkuasa Russia mungkin membuat dakwaan kononnya mereka merekrut tawanan tersebut secara sukarela.

“Namun, sukar membayangkan senario di mana keputusan tawanan perang boleh diambil secara sukarela dengan mengambil kira situasi tahanan dipaksa,” kata penyelidik kanan Human Rights Watch, Yulia Gorbunova.

Institut Kajian Perang (ISW) di Washington memaklumkan, pihaknya sebelum ini menerima laporan mengenai tawanan perang Ukraine yang diminta menyertai batalion secara sukarela.

Jelasnya, kesemua tawanan perang itu ditempatkan di penjara Olenivka yang musnah dalam letupan pada Julai 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya