Takkan mahu tunggu semua penduduk Gaza mati?

Takkan mahu tunggu semua penduduk Gaza mati?

KANAK-KANAK Palestin melarikan diri ketika tentera Zionis mengebom Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sudah sebulan perang Palestin dan Israel berlangsung sejak 7 Oktober lalu dan hari demi hari, ada sahaja nyawa diragut di tanah Palestin, terutamanya di Semenanjung Gaza.

Sudah sebulan juga Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) gagal mencapai walau satu resolusi untuk menghentikan keganasan di Gaza.

Terdapat pelbagai persoalan mengenai apa fungsi sebenar PBB dalam konflik ini, tidakkah PBB lihat apa yang menimpa penduduk Gaza? Kenapa PBB tidak boleh buat keputusan segera?

Sehingga semalam, sudah lebih 10,000 penduduk Gaza maut di tangan tentera Zionis dengan lebih 4,000 mangsa adalah kanak-kanak.

Persidangan UNSC kelmarin untuk mencari penyelesaian konflik yang berlaku lagi sekali gagal mencapai sebarang kata putus.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Robert Wood berkata, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

Katanya, negara-negara Barat sebulat suara menolak desakan gencatan senjata kerana langkah itu hanya memberi peluang kepada Hamas untuk menyerang Israel secara lebih teruk.

Keputusan resolusi UNSC sebenarnya dipengaruhi besar oleh negara-negara Barat yang secara terang-terangan tidak mahu bantu Gaza dengan menjadikan alasan wilayah bergolak itu ditadbir Hamas yang digelar pengganas.

Satu pelan resolusi berhubung konflik di Gaza sudah pun dibuat dan diusulkan Jordan, iaitu gencatan senjata dilakukan, akses kemanusiaan namun sehingga kini, masih tiada keputusan sama ada resolusi itu boleh diluluskan atau tidak.

Jika badan terpenting dunia pun tidak mampu buat keputusan segera, boleh bayangkan bagaimana masa depan Gaza dan penduduknya?

IKUT TELUNJUK AS

Pelan resolusi yang diusulkan Jordan pada 27 Oktober itu menerima 120 undian berbanding 14 yang menentang, serta 45 negara lain berkecuali.

Antara negara yang menentang adalah AS, Israel dan negara-negara Pasifik.

UNSC hanya boleh melaksanakan resolusi jika sekurang-kurangnya sembilan daripada 15 negara anggota mengundi menyokong dan tiada kuasa veto digunakan oleh mana-mana lima negara anggota tetap UNSC.

Setakat ini, terdapat kekurangan undi untuk menyokong resolusi tersebut, selain veto dari AS, sekali gus menyebabkan tiada satu pun resolusi diluluskan untuk bantu Gaza.

SAMPAI BILA MAHU RETORIK?

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres boleh dikatakan sejak konflik berlaku sehinggalah kini, kenyataan beliau hanya bersifat retorik, namun perkara itu tidak pun meredakan konflik di Gaza.

Tentera Zionis masih mengebom Gaza seperti tiada hari esok, tidak kisah siapa pun yang terkorban, asalkan dendam kesumatnya terbalas.

Menerusi kenyataan terbaharu, Guterres menyifatkan Gaza seperti ‘tanah perkuburan untuk kanak-kanak’.

“Kita perlu bertindak sekarang, kita perlu hentikan semuanya sekrang kerana Gaza sudah terlalu rosak dan tenat.

“Gencatan senjata perlu dilaksanakan segera kerana Gaza sudah pun menjadi seperti ‘tanah perkuburan yang besar’,” katanya.

ZIONIS TERUS BESAR KEPALA

Kegagalan PBB mencari penyelesaian konflik yang berlaku secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Zionis untuk terus menyerang Gaza.

Pada mereka, jika PBB pun tidak mampu menyekat kemaraan mereka di Gaza, kenapa perlu ikut cakap negara lain yang sibuk mendesak hentikan serangan?

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan tidak akan ada gencatan senjata melainkan Hamas membebaskan semua tebusan yang ditahan.

Namun, siapa percaya cakap Israel? Sudah berdekad lama Zionis menindas Palestin dan hingga kini, tiada perubahan.

APA SUMBANGAN AS?

AS yang kononnya menjadi ejen orang tengah, iaitu antara Palestin dan Israel sampai sekarang tidak mampu hentikan konflik.

Apa tidaknya, AS terus menyokong serangan dilakukan Zionis terhadap Gaza dengan menjelaskan tindakan itu bagi mempertahankan diri.

Sedangkan, yang banyak terkorban, yang hilang rumah, yang hilang keluarga adalah penduduk di Gaza.

Penduduk di Israel rasanya masih mampu makan enak, tidur lena atas katil empuk, mandi dan tukar pakaian baharu.

Penganalisis sifatkan campur tangan AS hanyalah sebagai penyibuk dan penggalak perang menjadi semakin rumit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya