LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak memecat Setiausaha Dalam Negeri, Suella Braverman berikutan beberapa siri spekulasi mengenai masa depannya.
Braverman mencetus kemarahan di Downing Street selepas mengkritik cara polis mengendalikan protes pro-Palestin di London.
Beliau menulis artikel kontroversi itu dalam akhbar The Times dan kemudiannya disahkan mengabaikan nasihat daripada Downing Street untuk membuat perubahan pada artikel itu.
James Cleverly, yang sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Luar, dilantik untuk menggantikan Braverman.
Bekas Perdana Menteri, David Cameron diumumkan sebagai Setiausaha Luar yang baharu, mengambil tempat Cleverly.-AGENSI