GAZA CITY: Beberapa penganalisis tampil menjelaskan punca disebalik tindakan Israel yang melancarkan serangan menyasarkan hospital dan pusat kesihatan di Gaza.
Sebelum ini, Israel mendakwa Hamas menjadikan hospital sebagai pusat arahan dan kawalan serta tempat persembunyian untuk komander dan anggota kumpulan pejuang itu.
Namun, penganalisis dari Majlis Asia Barat untuk Hal Ehwal Global, Omar Rahman berpandangan sebab sebenar tindakan rejim zionis itu adalah amat berbeza.
Katanya, tindakan demikian merupakan satu bentuk perang psikologi.
“Serangan ke atas hospital secara tidak langsung memberi mesej bahawa tiada tempat yang selamat untuk rakyat Palestin.
“Malah, rejim zionis itu dipercayai bertindak demikian kerana mempunyai rasa bebas dan boleh terlepas daripada hukuman,” katanya.
Serangan Israel ke atas hospital kini dilihat sebagai motif konflik tersebut, walaupun infrastruktur lain termasuk kem pelarian dan sekolah turut tidak dikecualikan daripada serangan.
Sekurang-kurangnya 21 daripada 35 hospital di Gaza termasuk pusat rawatan kanser di semenanjung tidak beroperasi sepenuhnya.
Malah, fasiliti kesihatan lain mengalami kerosakan, kekurangan ubat-ubatan dan bekalan penting.
Tentera Israel sebenarnya sudah mengepung Hospital al-Shifa sejak minggu lalu selepas membedil beberapa bahagian kemudahan itu.
Seperti pusat kesihatan lain di Gaza, hospital al-Shifa menempatkan ribuan orang awam yang kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman Israel, selain pesakit dan pengamal perubatan.
Penganalisis isu Palestin dari International Crisis Group, Tahani Mustafa menganggap tindakan menakut-nakutkan rakyat Palestin sehingga membuatkan mereka rasa tidak selamat di hospital Gaza adalah untuk mengelakkan sebarang bentuk penentangan.
“Ini adalah sebahagian bentuk gangguan yang sudah lama berlaku terhadap kakitangan perubatan. Menerusi cara ini, Israel menunjukkan kepada rakyat Palestin bahawa tiada mana-mana individu dan tiada ruang selamat.
“Ia merupakan cubaan sistematik untuk menakut-nakutkan penduduk tempatan dan melemahkan semangat mereka bagi berlawan,” katanya.
Selain itu, penganalisis itu memaklumkan Israel menyasarkan beberapa ambulans dan kemudahan perubatan di Tebing Barat dan Gaza sepanjang konflik berkenaan, dengan mendakwa pejuang Hamas menggunakannya untuk berlindung tanpa mengemukakan bukti kukuh.
CUBA PATAHKAN SEMANGAT PENDUDUK GAZA
Sementara itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan Israel cuba mematahkan semangat rakyat Gaza dengan sengaja membedil hospital di kawasan dikepung.
Kenyataan pemimpin itu merujuk kepada serangan berulang kali dan disengajakan ke atas hospital di Gaza sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Katanya, kekejaman Israel dan sekutunya yang menggunakan peralatan perang moden terhadap golongan kanak-kanak, wanita dan warga tua akan dinilai berdasarkan nilai kemanusiaan.
Erdogan berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Kabinet di ibu negara, Ankara.
“Turkiye merupakan satu-satunya negara yang tidak boleh digelar oleh Israel sebagai anti-Semitik.
“Sudah tentu, anda tidak dapat melihat penghinaan demikian pada masa lalu Turkiye,” katanya.