TAIPEI: Taiwan melaporkan aktiviti ketenteraan terbaharu China di sekitar pulau itu semalam dengan sembilan pesawat melintasi garis tengah sempadan di Selat Taiwan, diikuti kapal perang yang membuat rondaan kesiapsiagaan tempur.
Taiwan yang ditadbir secara demokrasi berdepan situasi itu sejak empat tahun lalu, menyaksikan rondaan dan latihan tentera China yang kerap, berhampiran pulau itu, ketika Beijing berusaha menekan Taipei berhubung tuntutan kedaulatannya.
Ketika Presiden China, Xi Jinping berada di San Francisco minggu lalu untuk sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, skala aktiviti ketenteraan di sekitar Taiwan oleh China kelihatan berkurangan.
Namun, Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan bermula pada pagi ini, mereka mengesan sembilan pesawat China termasuk pejuang Su-30 dan J-10, melintasi garis tengah Selat Taiwan, yang sebelum ini berfungsi sebagai ‘garis sempadan’ kedua-dua wilayah.
Pesawat itu didakwa mengiringi kapal perang China yang menjalankan rondaan kesiapsiagaan tempur, dengan Taiwan turut menghantar pasukannya untuk memantau.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan China tidak memberi reaksi segera ketika diminta maklum balas.
Sebelum ini, China memaklumkan aktivitinya berhampiran Taiwan bertujuan mengekang ‘pakatan sulit’ antara pemisah Taiwan dan Amerika Syarikat (AS) disamping untuk melindungi integriti wilayah China.
Kerajaan Taiwan, yang berulang kali menawarkan rundingan dengan China, menolak tuntutan kedaulatan Beijing dan menegaskan hanya penduduk pulau itu boleh menentukan masa depan mereka.
Taiwan menjadi tumpuan utama rundingan Biden dan Jinping di San Francisco, menurut Presiden China itu sebelum ini.
Taiwan menjadi isu terbesar dan paling berbahaya dalam hubungan AS-China, menurut seorang pegawai kanan AS.
Taiwan akan mengadakan pilihan raya presiden dan parlimen pada 13 Januari depan, menyaksikan hubungan pulau itu dengan China menjadi topik penting sepanjang kempen.