KYIV: Masih enggan mengalah, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memilih untuk memperkukuh ketenteraannya dengan menuntut perubahan pantas dalam operasi barisan hadapan dan mengumumkan pemecatan komander pasukan perubatan tentera.
Keputusan itu diumumkan ketika Zelensky bertemu dengan Menteri Pertahanan, Rustem Umerov ketika perdebatan semakin hangat mengenai usaha Ukraine mengendalikan perang selama 20 bulan menentang Russia dan persoalan tentang seberapa cepat serangan balas di timur dan selatan sedang berjalan.
“Dalam pertemuan hari ini dengan Umerov, keutamaan telah ditetapkan. Ada sedikit masa lagi untuk menunggu keputusan. Tindakan pantas diperlukan untuk perubahan yang akan datang,” kata Zelensky dalam ucapan videonya.
Zelensky memecat Tetiana Ostashchenko daripada jawatan Komander Angkatan Perubatan Tentera Ukraine dan melantik Anatoliy Kazmirchuk yang mengetuai hospital tentera di Kyiv sebagai komander baharu.
Pemecatan Ostashchenko dibuat seminggu selepas saluran berita Ukraine mencadangkan penyingkirannya berikutan rundingan dengan paramedik dan pegawai lain yang bertanggungjawab memberikan sokongan kepada tentera.
“Tugas itu jelas, seperti yang sudah berulang kali ditekankan dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan pasukan perubatan tempur, bahawa kami memerlukan tahap sokongan perubatan asas baharu untuk askar kami.
“Ini termasuk pelbagai isu seperti tourniquet atau alat menghentikan pendarahan yang lebih baik, pendigitalan dan komunikasi yang lebih baik,” katanya.
Umerov mengakui terdapat perubahan pada aplikasi pemesejan Telegram yang ditetapkan sebagai keutamaan pendigitalan, ubat taktikal dan penggiliran askar.
Tentera Ukraine melaporkan kemajuan dalam menawan semula kawasan yang diduduki di timur dan selatan, malah minggu lalu mengakui tenteranya sudah menguasai kawasan di tebing timur Sungai Dnipro di wilayah selatan Kherson.
Ketua komander Ukraine, Jeneral Valery Zaluzhniy dalam esei yang diterbitkan bulan ini berkata, perang memasuki peringkat baharu dan Ukraine kini memerlukan teknologi yang lebih canggih untuk menentang tentera Russia.
Walaupun berulang kali mengatakan kemajuan akan mengambil masa, Zelensky menafikan perang itu sedang menuju ke arah jalan buntu dan meminta sokongan berterusan.