BAITULMUQADDIS: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Save the Children mendedahkan seorang kanak-kanak terbunuh bagi setiap 10 minit di Gaza susulan perang yang berlaku antara Hamas dan Israel.
Jika sebelum ini purata itu berlaku bagi setiap 15 minit, kini ia menjadi semakin pantas berikutan serangan bertalu-talu daripada tentera Zionis.
Jurucakap Save the Children cawangan Palestin, Jason Lee berkata, perang yang berlaku juga menyaksikan sekurang-kurangnya 20,000 penduduk awam cedera.
Katanya, daripada jumlah itu, satu daripada tiga mangsa merupakan kanak-kanak.
“Disebabkan banyak penduduk yang cedera dan tidak dirawat sewajarnya, berlaku peningkatan penyakit berjangkit setiap hari.
“Penduduk Gaza juga tidak mempunyai bekalan kebersihan yang mencukupi dan situasi itu menyebabkan mereka terdedah dengan amalan kebersihan tidak lengkap,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut meluahkan kebimbangan wabak influenza yang berisiko menular dalam kalangan penduduk Gaza.
Kebimbangan itu semakin berlipat ganda apabila trak bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza disifatkan ‘tidak mampu menyelesaikan masalah’.
Turut menyedihkan, doktor-doktor bedah melakukan pembedahan tanpa menggunakan ubat tahan sakit atau anestetik, manakala telefon bimbit digunakan sebagai sumber mendapatkan cahaya di pusat-pusat perubatan.
“Mereka kehilangan kemudahan perubatan dan terdapat juga 130 bayi pramatang dalam inkubator yang turut berpotensi tidak dapat berfungsi berikutan tiada bahan api,” ujar Lee.