MOSCOW: Tentera Russia menggagalkan serangan Ukraine dengan menembak jatuh sejumlah dron di Laut Hitam dan Semenanjung Crimea.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan.
“Pada pagi tadi, cubaan rejim Kyiv untuk melakukan serangan menggunakan 17 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) ke atas bangunan di wilayah Russia berjaya dihentikan.
“Pasukan pertahanan anti-pesawat memusnahkan sembilan dron milik Ukraine dan lapan lagi dipintas di Laut Hitam dan wilayah Crimea,” jelas kenyataan itu.
Moscow dan Kyiv melancarkan serangan dron antara satu sama lain selama beberapa bulan, dengan kedua-dua pihak biasanya mendakwa berjaya melumpuhkan atau menembak jatuh puluhan UAV setiap minggu.
Sementara itu, Gabenor Sevastopol, Mikhail Razvozhayev mengesahkan serpihan yang jatuh mencederakan seorang lelaki dan mangsa kini berada dalam keadaan serius.
Katanya, tiada kerosakan serius lain yang dilaporkan. – AFP