WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengakui Russia akan menang peperangan di Ukraine sekiranya negara itu berhenti memberi sokongan kepada Kyiv.
Justeru, Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin menegaskan AS komited untuk terus menyokong Ukraine.
Ketua Pentagon itu bersama Setiausaha Negara, Antony Blinken memberi keterangan dalam sesi pendengaran Jawatankuasa Peruntukan Senat berhubung permohonan Presiden Joe Biden yang memohon dana sebanyak AS$106 bilion (RM506 bilion) untuk membiayai rancangan keselamatan sempadan Ukraine, Israel dan AS.
“Saya ingin menegaskan bahawa tanpa sokongan AS, (Presiden Russia, Vladimir Putin) akan menang di Ukraine.
“Jadi, sekiranya kita menarik balik sokongan, maka Putin hanya akan menjadi lebih kuat dan akan berjaya melakukan apa yang dia mahu lakukan selama ini,” kata Austin dalam sesi pendengaran itu.
Biden memohon dana sejumlah AS$61.4 bilion (RM293 billion) untuk Ukraine, dengan alasan bahawa menyokong rakan kongsi AS adalah penting bagi keselamatan negara.
Kira-kira separuh daripada dana itu akan dibelanjakan di AS untuk menambah bekalan senjata yang kehabisan disebabkan sokongan sebelum ini.
Sebelum ini, Kongres sudah meluluskan peruntukan sebanyak AS$113 bilion (RM539.4 bilion) untuk Ukraine sejak serangan Russia pada Februari lalu.
White House juga pernah memaklumkan pihaknya mempunyai dana kurang daripada AS$5.5 bilion (RM26.2 bilion) untuk meneruskan pemindahan senjata dari simpanan AS kepada tentera Ukraine yang menentang Russia.
Sementara itu, Austin berkata, pentadbiran Biden mahu Ukraine meneruskan operasi ketenteraannya sepanjang musim sejuk.
Bagaimanapun, katanya, Kyiv mungkin tidak dapat berbuat demikian sekiranya mereka terpaksa berhenti seketika kerana tiada sokongan AS. – REUTERS