GENEVA: Lebih ramai penduduk Gaza boleh maut akibat penyakit berjangkit berbanding operasi ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sekiranya sistem kesihatan di wilayah tersebut tidak dipulihkan segera, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Amaran itu dikeluarkan ketika kes penyakit berjangkit dan cirit-birit dalam golongan kanak-kanak semakin meningkat.
Berdasarkan angka yang diperoleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 15,000 penduduk wilayah tersebut maut akibat bedilan udara tentera Zionis dengan 40 peratus daripadanya merupakan kanak-kanak.
“Tidak mustahil jika kita lihat lebih ramai penduduk akan mati akibat penyakit berjangkit berbanding maut terkena bedilan udara tentera Israel.
“Semua penduduk di Gaza mempunyai keperluan kesihatan yang amat terdesak ketika ini kerana mereka berdepan kebuluran dan kekurangan air bersih,” kata jurucakap WHO, Margaret Harris.
Dalam pada itu, Harris turut mengulangi kebimbangan mengenai peningkatan wabak penyakit berjangkit, terutamanya cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak dengan kebanyakan kes melibatkan umur bawah lima tahun.
Katanya, kes itu melonjak lebih 100 peratus daripada paras normal menjelang awal bulan ini.
Jurucakap Agensi Kanak-Kanak PBB di Gaza, James Elder, memberitahu hospital di wilayah itu penuh dengan kanak-kanak yang melecur dan luka serpihan serta cirit-birit akibat meminum air kotor.
“Saya bertemu dengan ramai ibu bapa, mereka tahu apa yang anak-anak mereka perlukan. Mereka tidak mempunyai akses kepada air bersih,” katanya.
Memetik laporan PBB mengenai keadaan hidup penduduk yang dipindahkan di utara Gaza, Harris berkata tiada bekalan ubat-ubatan, tiada aktiviti vaksinasi, tiada akses kepada air selamat dan kebersihan serta tiada makanan.
Hampir tiga perempat daripada hospital atau 26 daripada 36 ditutup sepenuhnya di Gaza kerana pengeboman atau kekurangan bahan api. – REUTERS