LHOKSEUMAWE: Hampir 1,000 pelarian Rohingya dari Myanmar tiba di wilayah Aceh, Indonesia menggunakan bot dalam tempoh enam hari lalu.
Pelarian itu termasuk lima kumpulan terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak yang terkandas di laut selama beberapa hari.
Satu kumpulan terdiri daripada lebih 240 pelarian dua kali dilarang berlabuh di pantai daerah Aceh Utara sebelum mereka akhirnya mendarat di daerah Bireuen pada pagi Ahad lalu.
“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa dan masyarakat setempat yang membenarkan kumpulan pelarian itu mendarat dan kami berharap solidariti ini akan diteruskan sehingga pada masa akan datang,” menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Kebanyakan pelarian itu meninggalkan kem pelarian di Bangladesh yang disifatkan terlalu sesak dan daif.
Dianggarkan terdapat 700,000 pelarian Rohingya di beberapa kem pelarian di Bangladesh.
Selain Indonesia, beberapa negara berhampiran seperti Malaysia dan Thailand juga sering menjadi destinasi golongan tersebut melarikan diri.
“Pendaratan ratusan pelarian Rohingya ke negara ini bukanlah perkara yang boleh dibanggakan, namun masyarakat kami sentiasa bermurah hati menawarkan makanan dan perlindungan sementara buat kesemua pelarian itu.
“Namun, Indonesia tidak mempunyai kewajipan untuk menampung pelarian kerana kami tidak termasuk dalam Konvensyen Pelrain 1951,” kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid.
Sebaliknya, banyak negara yang terlibat dalam konvensyen itu bersikap lepas tangan dan menutup pintu mereka kepada pelarian ini.
“Kami bukan tempat menyimpan semua pelarian ini dan tanggungjawab kami hanya memberi perlindungan sementara sahaja,” kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Lalu Muhammad Iqbal.
Katanya, kebaikan negara ini menyediakan tempat perlindungan sementara telah dimanfaatkan secara meluas oleh kumpulan penyeludupan manusia yang mencari keuntungan.
Jelas beliau, sindiket penyeludup itu tidak peduli dengan risiko yang dihadapi pelarian, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak. – AP