LONDON: Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di London dan Kanada bagi menuntut gencatan senjata penuh yang berkekalan antara Israel dan Palestin.
Penunjuk perasaan mengibarkan sepanduk pro-Palestin dan melaungkan slogan ketika berjalan melalui pusat bandar London ke Dewan Parlimen di Westminster.
Kira-kira 1,500 pegawai polis ditugaskan termasuk 500 lain yang dibawa masuk dari pasukan di luar London.
Demonstrasi itu dianjurkan oleh Kempen Solidariti Palestin dan Gabungan Hentikan Perang.
Polis London membuat ratusan tangkapan berkaitan jenayah berunsur kebencian perkauman sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.
Menunjukkan sokongan kepada Hamas di Britain dianggap satu jenayah kerana kumpulan pejuang itu diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas.
Sementara itu di Kanada, ribuan penunjuk perasaan membawa sepanduk mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan di hadapan bangunan Parlimen di Ottawa, menuntut gencatan senjata penuh.
Perhimpunan itu disusuli dengan petisyen dalam talian yang dikemukakan kepada penggubal undang-undang dengan 286,719 tandatangan.
Jumlah itu dikatakan paling banyak berbanding mana-mana e-petisyen Parlimen yang menggesa Perdana Menteri, Justin Trudeau untuk mendesak gencatan senjata penuh di Gaza.
Demonstrasi di ibu negara Kanada itu berjalan secara aman.
Awal bulan ini, Trudeau terpaksa diiringi keluar ke tempat selamat ketika polis menyuraikan protes pro-Palestin di luar restoran Vancouver lokasi beliau menjamu selera.
Trudeau berkata, pembunuhan wanita, kanak-kanak dan bayi dalam perang Israel-Palestin mesti dihentikan, namun mendapat teguran keras daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. – AFP