Remaja 14 tahun cipta sabun rawat kanser kulit - Utusan Malaysia

Remaja 14 tahun cipta sabun rawat kanser kulit

Gambar Agensi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG remaja berusia 14 tahun menang anugerah saintis muda Amerika selepas berjaya menghasilkan sebuku sabun mampu milik yang berupaya merawat kanser kulit.
Heman Bekele merupakan pelajar gred sembilan dari Sekolah Tinggi W.T Woodson di Annandale, Virginia.
Remaja itu membawa pulang hadiah utama wang tunai sebanyak AS$25,000 (RM119,120) selepas bersaing dengan sembilan lagi finalis dalam Cabaran Saintis Muda 3M 2023.
Lapor Daily Mail, inovasi itu dicipta dengan menggunakan elemen sabun perubatan bersama tiga ramuan yang boleh mengaktifkan semula sel dendritik.
Sel berkenaan mampu menghasilkan tindak balas imun untuk melawan kanser.
Produk dihasilkan Heman bukan sahaja membantu melawan kanser tetapi ia

juga berharga AS$0.50 (RM2.38) setiap buku sabun.
Harga sabun itu jauh lebih murah berbanding kos rawatan perubatan semasa yang mencecah lebih AS$40,000 (RM190,597).
Ketika ditemu bual, Heman menyatakan hasratnya untuk memperhalusi inovasi itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Malah, dia juga mahu menubuhkan organisasi bukan keuntungan untuk mengagihkan sabun berkenaan kepada golongan yang memerlukan.
“Penyakit kanser kulit kebanyakannya dihidap oleh penduduk yang tinggal di negara-negara membangun.
“Purata kos rawatan perubatan untuk penyakit kanser itu mencecah lebih AS$40,000 (RM190,597).
“Saya berasa amat kecewa dengan idea orang ramai memilih antara rawatan dan menyara keluarga mereka. Sebenarnya, begitu banyak kes kematian boleh dielakkan,” katanya.
Dilaporkan, remaja itu pada mulanya melakukan penyelidikan berkaitan kanser kulit dan mempelajari mengenai sel dendritik yang dikatakan mampu membantu melindungi kulit dengan meningkatkan tindak balas imun.
Satu rakaman video Heman yang diserahkan kepada pihak pertandingan menjelaskan tiga ramuan tersebut iaitu asid salisilik, asid glikolik dan tretinoin merupakan agen keratolitik yang memecahkan lapisan luar kulit.
Ia membolehkan reseptor jenis Toll (TLR) dan protein memainkan peranan penting dalam sistem daya tahan semula jadi untuk dilepaskan ke dalam kulit yang melekat dan mengaktifkan semula sel dendritik.
Sel dendritik itu kemudian bergabung dengan sel darah putih untuk melawan sel-sel yang dijangkiti.
Heman menamakan produk itu sabun merawat kanser kulit (SCTS).

Katanya, sabun itu boleh digunakan pada kulit setiap dua hari selepas mendapatkan preskripsi.
Selepas memenangi hadiah utama itu, Heman berharap untuk mendapatkan paten bagi produk sabunnya dan menggunakan wang itu bagi perbelanjaan di kolej.
Tambahnya, dia bercita-cita untuk menjadi jurutera elektrik apabila dewasa.
“Saya dapat membayangkan diri saya mengetuai pasukan profesional dalam membangunkan sistem elektrik inovatif yang akan membentuk masa depan teknologi.
“Di samping kejayaan profesional, saya berharap dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membimbing bakal jurutera dan menyokong inisiatif yang mempromosikan pendidikan dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
“Dalam masa 15 tahun lagi, saya juga berharap dapat memberi impak positif kepada dunia melalui hasil kerja saya,” katanya. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya