GAZA CITY: Ratusan penduduk dan pesakit yang cedera keluar meninggalkan Hospital Al-Shifa di Gaza, lapor wartawan AFP di lokasi kejadian.
Situasi itu berlaku selepas pengarah hospital memaklumkan pihaknya menerima arahan tentera Israel untuk mengosongkan fasiliti itu dengan segera.
Menurut Kementerian kesihatan menerusi kenyataan, seramai 120 pesakit yang gagal dipindahkan masih berada di hospital terbesar di Semenanjung Gaza itu termasuk sebilangan bayi pramatang yang tidak dapat dipastikan jumlahnya.
Malah, jelas kementerian, pihaknya sudah berhubung dengan Palang Merah untuk membawa keluar semua bayi berkenaan.
Pegawai berkata, beberapa kakitangan perubatan memilih untuk tinggal di hospital tersebut untuk menjaga pesakit yang tidak dapat dipindahkan.
Sejumlah pesakit yang sakit dan cedera dengan sebahagian mereka kudung, bersama penduduk lain yang berlindung di sana serta doktor dan jururawat bergerak keluar dari Hospital Al-Shifa menuju ke pinggir laut.
Sementara itu, tentera Israel dalam satu kenyataan menafikan pihaknya mengarahkan pemindahan itu.
Tentera Israel mendakwa “menerima permintaan daripada pengarah Hospital Al-Shifa untuk membolehkan warga Gaza yang berada di hospital, yang membuat permintaan untuk berpindah, berbuat demikian”.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 2,300 pesakit, kakitangan dan penduduk Palestin yang berpindah akibat serangan Israel berlindung di hospital berkenaan.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan puluhan orang meninggal dunia disebabkan bekalan elektrik terputus di hospital tersebut. – AFP