KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 132 orang maut dalam satu malam selepas satu gempa bumi menggegarkan kawasan luar bandar di Nepal.
Gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter itu melanda bahagian barat daerah Himalaya pada petang kelmarin dan berlaku pada kedalaman 18 kilometer.
Rakaman video dan gambar yang disiarkan dalam media sosial menunjukkan penduduk setempat menggali di celah runtuhan bangunan bagi membawa keluar mangsa yang terperangkap.
Rumah penduduk yang diperbuat daripada lumpur juga musnah sepenuhnya, dengan pasukan keselamatan kini bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu penduduk yang terjejas.
Gempa bumi itu turut dirasakan di New Delhi yang terletak hampir 500 kilometer dari pusat gempa, iaitu 42 kilometer ke Jumla.
“Sebanyak 92 orang terbunuh di jajarkot dan 40 lagi di Rukum,” kata jurucakap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, narayan Prasad Bhattarai kepada AFP sambil memaklumkan dua daerah berkenaan paling teruk terjejas.
Jurucakap polis Nepal, Kuber Kathayat pula memaklumkan, jumlah kematian dijangka meningkat dia kedua-dua daerah tersebut.
Setakat ini, pasukan keselamatan dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu penduduk yang terjejas dan melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR).
“Kawasan terjejas sukar diakses oleh pasukan keselamatan menyebabkan operasi SAR menjadi rumit.
“Sesetengah jalan tidak dapat dilalui kerana sudah rosak, namun kami berusaha untuk masuk ke kawasan tersebut,” kata jurucakap polis Wilayah Karnali, Gopal Chandra Bhattarai.
Selain itu, hospital di kawasan tersebut dilaporkan sudah sesak dengan mangsa yang cedera.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal tiba di lokasi kejadian semalam dan menzahirkan rasa sedih dengan insiden yang berlaku.
Di India, Perdana Menteri Narendra Modi menyatakan beliau turut bersedih dengan jumlah korban dalam bencana alam itu.
“India sentiasa menyokong Nepal dan kami ada bersama anda,” katanya. – AFP