PIHAK berkuasa Korea Selatan sedang berusaha untuk membendung serangan pepijat yang menimbulkan kebimbangan di seluruh negara itu.
Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 17 kes serangan pepijat dilaporkan di ibu kota Seoul dan di bandar Busan serta Incheon setakat 5 November lalu.
Seoul sudah memperuntukkan 500 juta won (RM1.7 juta) dan menubuhkan pasukan tindak balas untuk menangani masalah gangguan pepijat yang dilaporkan semakin bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu.
Korea Selatan merupakan negara ketiga berdepan serangan serangga penghisap darah itu selepas kes serupa mencetus kegusaran di Perancis dan United Kingdom (UK).
Serangan pepijat di Korea Selatan mula dikesan pada September di sebuah universiti di bandar Daegu di barat daya negara itu. Masalah serupa kemudian menular di penginapan pelancong dan sauna awam.
Rakyat negara itu juga kini terpaksa menjauhkan diri dari pawagam dan pengangkutan awam kerana semakin takut dengan gigitan pepijat.
Portal berita E Daily News melaporkan, seorang wanita di Seoul berusia 34 tahun yang hanya dikenali sebagai Choi, mengakui mengelak menaiki kereta api bawah tanah dengan tempat duduk berfabrik buat masa ini.
Choi berkata, dia terpaksa menyembur racun perosak di seluruh rumahnya kerana bimbang pepijat akan muncul secara tiba-tiba.
Seorang lagi warga tempatan yang hanya mahu dipanggil Seo berkata, dia dan temannya terpaksa berkurung di kediamannya kerana gusar diganggu serangga itu ketika menjalankan aktiviti luar.
Sebelum serangan terbaharu berlaku, Korea Selatan berjaya membasmi gangguan pepijat atau biasa disebut bedbug selepas kempen pemusnahan di seluruh negara pada tahun 1960-an.
Walaupun pepijat tidak membawa penyakit, gigitannya boleh menyebabkan kegatalan yang teruk.
Menggaru untuk melegakan kegatalan tersebut boleh menyebabkan kesan luka yang kemudiannya akan terdedah kepada jangkitan atau meninggalkan kesan parut yang sukar dihilangkan.
Serangga perosak tanpa sayap itu sering berkumpul di tilam, katil atau di celah-celah perabot dan kertas dinding juga diketahui memberi kesan emosi.
Mereka yang hidup dengan pepijat boleh berasa tidak selesa, malu atau mengalami masalah fobia untuk tidur.
Orang ramai di Seoul dilaporkan berpusu-pusu ke pusat kesihatan awam, meminta agar gigitan serangga mereka diperiksa dan mendapatkan nasihat tentang langkah yang perlu diambil bagi menghindari gangguan serangga kecil itu.
Kerajaan Metropolitan Seoul dijadualkan memulakan pemeriksaan intensif selama sebulan terhadap kira-kira 3,200 kemudahan awam termasuk hotel dan rumah mandian bagi memastikan tahap keselamatannya kepada orang ramai.
Kerajaan turut bertemu pakar swasta untuk membincangkan amalan terbaik dalam mengawal pepijat tersebut.
Seoul merancang untuk mengepam stim panas pada tempat duduk fabrik kereta api bawah tanah di seluruh bandar secara berkala sebelum memulakan usaha menggantikan tempat duduk yang tercemar atau diserang pepijat dengan bahan lain.
Lapor akhbar Joong Ang Daily, saranan pihak berkuasa untuk menggunakan beberapa jenis racun perosak tertentu terhadap pepijat bagaimanapun mencetuskan kontroversi kerana kajian terbaharu mendapati bahan itu tidak berkesan.
Rakyat Korea Selatan tertekan diserang pepijat
- Oleh Susunan Nawwar Abdul Rahim
- 19 November 2023, 5:12 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am