BRUSSELS: Pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, Presiden Russia, Vladimir Putin tidak akan berdamai dengan Ukraine sebelum mengetahui keputusan pilihan raya AS yang akan diadakan November tahun depan.
Perkara itu dilaporkan dibuat berikutan kebimbangan bahawa potensi kemenangan untuk bekas Presiden, Donald Trump boleh menukar sokongan Barat terhadap Kyiv.
Trump yang bertanding semula pada 2024 dan merupakan calon utama parti Republikan, kerap mengkritik sokongan AS terhadap Kyiv.
Selepas mesyuarat menteri luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels, seorang pegawai kanan AS berkata, pakatan itu mengulangi sokongannya kepada Ukraine kerana mengetahui bahawa perjanjian damai pada tahun depan tidak mungkin berlaku.
“Jangkaan saya ialah Putin tidak akan berdamai, yang bermakna sebelum beliau melihat keputusan pemilihan kami,” katanya.
Ditanya sama ada mereka menyatakan pendapat peribadi atau pandangan kerajaan AS, pegawai itu berkata ia adalah perkara yang sudah dikongsi secara meluas.
“Itu adalah konteks di mana semua sekutu menyatakan sokongan padu untuk Ukraine dalam mesyuarat NATO,” jelas pegawai itu, tanpa menyebut nama Trump atau secara jelas mengatakan bagaimana keputusan pilihan raya akan menjejaskan sokongan untuk Ukraine.
Presiden AS, Joe Biden memberikan bantuan ketenteraan besar-besaran dan sokongan lain kepada Kyiv sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.
Tetapi pembiayaan tambahan untuk Ukraine disekat oleh Dewan Perwakilan yang dikawal Republikan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky awal bulan ini menjemput Trump ke Ukraine untuk melihat sendiri skala konflik itu selepas beliau dilaporkan mendakwa mampu menamatkan perang dalam masa 24 jam jika dipilih semula sebagai Presiden.-REUTERS