GAZA: Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, Israel akan meneruskan perangnya terhadap Hamas walaupun gencatan senjata dicapai dengan kumpulan pejuang bagi membebaskan tebusan.
Netanyahu dengan angkuh berikrar untuk meneruskan serangan Israel terhadap Hamas sebaik sahaja gencatan senjata berakhir.
NETANYAHU KEKAL ANGKUH
“Di luar banyak cakap kosong, seolah-olah selepas kita berhenti untuk gencatan senjata, untuk pembebasan tebusan, kita akan menghentikan perang.
“Kami sedang berperang dan kami akan meneruskan perang. Kami akan meneruskan sehingga kami mencapai semua matlamat kami,” katanya.
Israel berikrar untuk meneruskan perang sehingga ia memusnahkan keupayaan ketenteraan Hamas dan mengembalikan semua tebusan.
Netanyahu berkata, Kabinetnya berdepan situasi sukar tetapi mengakui menyokong gencatan senjata adalah perkara yang tepat untuk dilakukan.
Netanyahu mempunyai sokongan yang mencukupi untuk meluluskan langkah itu walaupun mendapat tentangan daripada beberapa menteri.
Menurut Netanyahu, semasa gencatan senjata dilaksanakan, usaha perisikan akan dikekalkan bagi membolehkan tentera bersedia untuk peringkat pertempuran seterusnya.
Tambahnya lagi, pertempuran akan berterusan sehingga Gaza tidak lagi mengancam Israel.
PERJANJIAN GENCATAN SENJATA
Pengumuman itu dibuat ketika tentera Israel memerangi pejuang Palestin di sebuah kem pelarian di utara Gaza dan sekitar hospital yang penuh sesak dengan pesakit serta keluarga yang mendapatkan perlindungan.
Media Israel melaporkan, perjanjian gencatan senjata itu termasuk usaha menghentikan serangan Israel di Gaza dalam tempoh empat hari dan pembebasan 50 tebusan oleh Hamas sebagai pertukaran untuk kira-kira 150 tahanan Palestin di Israel.
Al Jazeera memetik satu kenyataan dikongsi oleh Hamas di Telegram memaklumkan, dalam tempoh tersebut Israel akan menghentikan tindakan ketenteraan di semua kawasan di Semenanjung Gaza, termasuk pergerakan kenderaan tentera.
Dalam perjanjian itu juga, ratusan trak bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan dan bahan api akan dibenarkan masuk ke Gaza.
Pergerakan dron di selatan Gaza juga dimaklumkan akan dihentikan selama empat hari iaitu selama enam jam sehari antara pukul 10 pagi dan 4 petang waktu tempatan.
Semasa tempoh gencatan senjata, Israel memberi komitmen untuk tidak menyerang atau menangkap sesiapa di semua kawasan di Semenanjung Gaza dan kebebasan bergerak akan dijamin di sepanjang jalan Salah al-Deen.
Hamas juga berkata, 150 wanita dan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.
Kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ) dalam kenyataan di Telegram berkata, anggota tentera Israel tidak akan dibebaskan sehingga semua tawanan dibebaskan daripada penjara musuh.-AP/AGENSI