ANKARA: Amerika Syarikat (AS) jelas mempamerkan sikap berat sebelah apabila menyatakan pendirian berbeza berhubung isu serangan ke atas hospital, infrastruktur, orang awam dan wartawan semasa perang Russia di Ukraine dan konflik Israel-Hamas di Semenanjung Gaza.
Walaupun pegawai kerajaan AS tidak teragak-agak untuk menuduh dan mengutuk Russia dengan mengenakan sekatan yang keras kerana operasi ketenteraan khas Moscow di Ukraine, mereka sebaliknya mengambil kedudukan yang bertentangan mengenai serangan Israel ke atas Gaza.
Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah korban orang awam yang dicatatkan di Ukraine sejak Februari 2022 hingga September tahun ini berjumlah 9,701 orang sementara konflik di Gaza yang baru memasuki bulan kedua sudah meragut 13,000 nyawa.
BERAT SEBELAH
Pegawai AS membuat kenyataan yang secara tersirat mencadangkan mereka melihat serangan Israel sebagai ‘tindakan yang sah’, tanpa satu kutukan pun.
Walaupun jumlah korban awam dalam pengeboman Israel di hospital di utara Gaza jauh lebih besar daripada serangan Russia terhadap Hospital Bersalin di Mariupol pada 9 Mac tahun lalu, pentadbiran AS tidak menunjukkan reaksi tegas yang sama ke arah Tel Aviv.
AS malah tidak menganggap Israel bertanggungjawab atas pengeboman di hospital Gaza.
Mengulas mengenai sasaran hospital di Mariupol, Presiden AS, Joe Biden berkata serangan itu adalah ‘ketidakadilan’ dan ‘memalukan seluruh dunia’.
“Seluruh dunia bersatu untuk menyokong Ukraine dan membuat Presiden Russia, Vladimir Putin membayar harga yang mahal,” katanya.
Tetapi selepas serangan ke atas hospital di Gaza, Biden hanya meluahkan rasa sedih dengan letupan di kemudahan itu yang diketahui turut menempatkan pelarian orang awam.
“Berdasarkan apa yang saya lihat, ia kelihatan seolah-olah ia dilakukan oleh pasukan lain, bukan anda,” kata Biden pada sidang akhbar dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, jelas merujuk kepada dakwaan rejim Zionis kononnya kumpulan Jihad Islam bertanggungjawab ke atas serangan itu.
SENGAJA MENGELAK
Biden dengan tegas turut menyifatkan kubur besar yang ditemui di wilayah Bucha berlaku di Ukraine sebagai pembunuhan beramai-ramai, tetapi mengelak memberi kenyataan kepada pemberita apabila ditanya mengenai kekejaman Israel di Gaza.
Sekembalinya dari lawatan ke Tel Aviv, seorang wartawan bertanya sama ada pihak Israel bertindak dalam kerangka undang-undang perang.
Biden hanya mengabaikan soalan itu dengan berkata beliau gembira bercakap dengan pemberita dan kemudian berpaling sebelum meninggalkan wartawan tanpa sebarang jawapan.
Perkara sama turut dilakukan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang begitu lantang mengutuk Russia malah mengesahkan bahawa Moscow mensasarkan teater, hospital dan kemudahan bekalan elektrik untuk melepaskan kemarahan kepada penduduk awam.
“Saya bersetuju dengan Biden bahawa jenayah perang sedang berlaku di Ukraine. Menyasarkan orang awam dengan sengaja adalah jenayah perang,” katanya.
Sebaliknya, Blinken mengelak daripada mengutuk serangan ke atas hospital Gaza dan tidak mengeluarkan kenyataan mengenai tindakan Israel menyekat bekalan elektrik dan air serta memutuskan komunikasi di wilayah itu .
Dalam sidang akhbar pada 20 Oktober lalu, Blinken tidak menangani isu jenayah perang mengenai orang awam yang terkorban di wilayah itu dan hanya menganggap Hamas bertanggungjawab atas kematian orang awam yang terbunuh dalam serangan Israel.
Dia menganggap Hamas bertanggungjawab ke atas infrastruktur sasaran Israel di Semenanjung Gaza dan menuduh kumpulan pejuang menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.
KOMEN BERCANGGAH
Perbezaan yang jelas turut muncul dalam tindak balas pegawai AS terhadap Russia dan Israel mengenai sasaran wartawan.
Berikutan pembunuhan wartawan AS, Brent Renaud di Ukraine, jurucakap Jabatan Negara AS ketika itu Ned Price mengeluarkan keyataan megutuk Kremlin.
“Kami berasa ngeri kerana wartawan dan pembikin filem yang jelas bukan pejuang telah terbunuh dan cedera di Ukraine oleh tentera Kremlin,” katanya.
Tetapi kini, jurucakap AS, Matthew Miller tidak pula mengutuk Israel atas pembunuhan 36 wartawan akibat pengeboman rejim Zionis.
Dalam sidang akhbar pada 26 Oktober lalu, Miller hanya menekankan bahawa kerajaan AS memberi penghormatan khusus kepada wartawan yang meletakkan diri mereka dalam bahaya untuk memberitahu dunia apa yang sedang berlaku dan untuk membawa maklumat kepada dunia.
“Jadi jelas sekali kami meratapi kematian wartawan tersebut. Ia adalah satu tragedi yang hebat,” tambahnya.
Reporters Without Borders (RSF) mengumumkan bahawa analisis balistik mengenai insiden di mana jurugambar Reuters, Issam Abdullah terbunuh di sempadan Lubnan-Israel menunjukkan terdapat serangan yang disengajakan oleh Israel.
Bagaimanapun perkara itu langsung tidak menarik sebarang kecaman dari AS.-AGENSI