PARIS: Kerajaan Perancis melancarkan kempen menggalakkan orang ramai untuk tidak membeli pakaian baharu sempena jualan Black Friday.
Iklan itu menunjukkan seorang lelaki meminta nasihat di sebuah kedai sebelum seorang pembantu memberitahunya untuk tidak membeli apa-apa demi membantu bumi dan kewangannya.
Menteri Peralihan Ekologi, Christophe Bechu yang bertanggungjawab untuk mempromosikan kemampanan merupakan individu bertanggang jawab di sebalik kempen tersebut.
Tetapi mesej itu dikritik oleh jabatan kerajaan lain di negara itu.
Menteri Kewangan, Bruno Le Maire menyifatkan tindakan itu mengejutkan dan menegaskan, ia akan membahayakan perniagaan yang jujur.
Jabatan Le Maire cuba menangani peningkatan pengangguran serta krisis kos sara hidup dan jualan bermusim dianggap dapat mengembalikan lebih banyak wang ke dalam ekonomi.
Black Friday sering ditunggu-tunggu pengguna kerana menawarkan diskaun dan promosi hebat, malah merupakan salah satu hari membeli-belah terbesar dalam setahun di banyak negara Eropah.
Bechu mengakui menyasarkan platform jualan dalam talian dan bukannya perniagaan fizikal dengan mesej yang sama tetapi menegaskan iklan itu tidak akan ditarik balik.-AGENSI