PARIS: Laporan media baru-baru ini mendedahkan Perancis merupakan penyokong terbesar projek pengekstrakan ‘bom karbon’ di Eropah yang menyimpan bahan api fosil mencukupi untuk mengepam lebih daripada satu gigaton karbon dioksida (CO2).
Pemimpin dunia berkumpul di ibu negara Perancis untuk menandatangani Perjanjian Paris pada tahun 2015 di mana mereka berjanji untuk menghentikan pemanasan suhu purata bumi melebihi 1.5 darjah Celsius di atas tahap pra-industri.
Namun bank Perancis dilaporkan membiayai syarikat yang merancang atau mengendalikan bom karbon berjumlah lebih AS$154 bilion (RM735 bilion).
Bom karbon berkenaan merujuk kepada 425 projek pengekstrakan bahan api fosil melibatkan arang batu, minyak dan gas terbesar di dunia.
Perkara itu turut disahkan oleh Saintis iklim di Badan Cea Paris-Saclay, Valerie Masson-Delmotte yang bersama-sama mempengerusikan laporan terbaharu bahagian sains fizikal oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim.
“Syarikat dan bank yang menjalankan projek bahan bakar fosil menerapkan strategi sinis.
“Walaupun menyatakan komitmen pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ menjelang 2050, mereka sebaliknya bertindak meningkatkan penggunaan bahan api fosil dan pelepasan karbon di udara.
“Mereka dengan sengaja mengabaikan salah satu penemuan saintifik terkuat yang berkaitan pelepasan CO2 kumulatif dengan tahap pemanasan global,” katanya.
Penyelidikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Data for Good, Éclaircies bersama-sama dengan media Barat termasuk The Guardian dan Le Monde mendapati, bank-bank Perancis melabur lebih banyak wang dalam syarikat-syarikat yang mengendalikan projek bahan api fosil berbanding negara lain di Eropah.