Pengeboman Israel di kem Jabalia boleh dianggap jenayah perang - PBB - Utusan Malaysia

Pengeboman Israel di kem Jabalia boleh dianggap jenayah perang – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata serangan udara Israel ke atas kem pelarian Jabalia di Gaza boleh dianggap sebagai jenayah perang.

“Ini berikutan jumlah besar kematian orang awam dan tahap kemusnahan selepas serangan udara Israel ke kem pelarian terbesar di Gaza, Jabalia.

“Kami secara serius berpandangan bahawa ini adalah serangan yang tidak sewajarnya dan boleh dianggap sebagai jenayah perang,” menurut pejabat itu dalam hantaran di media sosial pada Rabu.

Kenyataan yang dikeluarkan PBB itu susulan pengesahan yang dibuat Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengenai serangan udara yang dilancarkan di kem berkenaan pada Selasa lalu.

Tegas IDF, serangan itu menyasarkan pasukan pejuang Hamas, yang didakwa mempunyai rangkaian terowong yang luas di bawah penempatan berkenaan.

Ia juga mendakwa, pesawatnya hanya ‘menyerang kompleks pengawal dan kawalan Hamas di Jabalya’, sambil mengesahkan ‘pejuang Hamas dilenyapkan dalam serangan itu’.

Pasukan pegawai perubatan Palestin yang gali kawasan runtuhan bagi mencari penduduk terselamat memaklumkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh manakala 150 lain cedera dalam serangan itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dilihat cuba mengelak seboleh mungkin daripada mengkritik tindakan Israel menyerang kem pelarian di Gaza itu.

White House secara berterusan mengelak daripada mengkritik tindakan tentera Israel di Gaza, termasuk serangan ke atas kem pelarian yang meragut puluhan nyawa penduduk Palestin pada Selasa lalu.

White House menegaskan, AS tidak akan memberi sebarang maklum balas terhadap apa sahaja perkembangan terbaharu di wilayah peperangan antara Israel dan Hamas itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan AS, John Kirby, sebaliknya berkata, AS lebih kerap berhubung dengan Israel dengan memberi penekanan mengenai kepentingan melindungi nyawa orang awam.

“Kami akan berhati-hati dalam mengambil tindakan terhadap setiap apa yang berlaku di lapangan,” kata Kirby kepada CNN, sambil menegaskan, AS masih mengumpul maklumat mengenai serangan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya