Penduduk Palestin gali kubur besar dalam hospital, tiada pilihan

Penduduk Palestin gali kubur besar dalam hospital, tiada pilihan kebumi mayat pesakit yang mereput

PENDUDUK Palestin memeriksa mayat mangsa yang bergelimpangan di luar Hospital al-Shifa di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Penduduk Palestin terpaksa menggali kubur besar di dalam Hospital al-Shifa untuk mengebumikan mayat pesakit yang sudah mereput selepas kemudahan itu diserbu dan dikepung tentera Israel sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf Al-Qidra yang dihubungi melalui telefon di dalam perkarangan hospital itu berkata, terdapat kira-kira 100 mayat reput di dalam kemudahan tersebut tetapi tiada cara untuk membawa kesemuanya keluar.

MAYAT MEREPUT

“Kami mengebumikan mereka di dalam kubur besar di dalam kompleks perubatan al-Shifa.

“Ia akan menjadi sangat berbahaya kerana kami tidak mempunyai sebarang perlindungan mahu pun daripada ICRC, tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain apabila mayat para syahid ini sudah mula reput.

“Mengebumikan lebih 100 mayat memerlukan banyak peralatan, tidak boleh dengan usaha beberapa kakitangan sahaja. Ia akan mengambil masa berjam-jam untuk dapat mengebumikan semua mayat-mayat ini,” katanya.

Pakar Bedah Hospital al-Shifa, Dr. Ahmed El Mokhallalati berkata, risiko utama kini adalah daripada mayat yang mereput di dalam pusat perubatan tersebut.

“Kami pasti semua jenis jangkitan akan merebak kepada pesakit dan pelarian di sini.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila hari hujan. Ia benar-benar mengerikan, tiada sesiapa boleh membuka tingkap atau berjalan di sekitar koridor dengan bau yang sangat busuk,” katanya.

NYAWA PESAKIT TERANCAM

Dalam pada itu, sebanyak 36 bayi terpaksa dikeluarkan dari wad neonatal selepas tiga daripada mereka meninggal dunia.

Tanpa bahan api untuk menggerakkan inkubator, bayi-bayi itu dipanaskan sebaik mungkin dan diletakkan di atas satu katil.

Israel mengumumkan pihaknya menawarkan inkubator mudah alih berkuasa bateri supaya bayi-bayi itu boleh dipindahkan.

Tetapi Ashraf berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan dan usaha dibuat untuk melakukan pemindahan sedemikian.

“Kami tidak ada bantahan untuk memindahkan bayi ke mana-mana hospital di Mesir, Tebing Barat atau pun ke hospital pendudukan Israel. Apa yang paling kami ambil berat ialah nyawa dan kesejahteraan bayi-bayi ini.

“Israel masih mengepung hospital dan mereka melepaskan tembakan ke halaman dari masa ke semasa.

“Kami masih tidak boleh bergerak, tetapi kadangkala doktor mengambil risiko apabila mereka perlu merawat pesakit,” katanya.

Terdahulu Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Munir al-Bursh, dalam siaran di Al Jazeera memaklumkan tentera Israel menyerbu bahagian barat kompleks perubatan dan letupan berlaku di dalam hospital.

Pengarah Hospital, Mohammed Zaqout berkata, jabatan pembedahan dan kecemasan turut menjadi sasaran.

Tentera Israel mengepung hosital terbesar di Gaza City itu kerana mendakwa kemudahan itu terletak di atas ibu pejabat bawah tanah pejuang Hamas.

Hamas yang berulang kali menafikan kehadiran pejuangnya di hospital berkenaan berkata, seramai 650 pesakit dengan sekitar 7,000 orang awam terperangkap di dalam kawasan hospital ekoran serangan berterusan daripada penembak tepat dan dron rejim Zionis.

Lima minggu selepas Israel bersumpah untuk memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan, nasib hospital yang dikepung itu menjadi tumpuan antarabangsa termasuk daripada sekutu terdekat Israel, Amerika Syarikat (AS).

Kelmarin, Hamas menegaskan Presiden AS, Joe Biden bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi tentera Israel di hospital terbesar di Gaza itu.

“Penerimaan White House dan Pentagon terhadap dakwaan palsu kumpulan pejuang menggunakan kompleks perubatan al-Shifa untuk tujuan ketenteraan memberi lampu hijau kepada Israel untuk melakukan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam,” katanya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya