VIENNA: Sebuah kolam air pancut baharu di bandar Vienna, Austria disifatkan sebagai paling hodoh di Eropah walaupun pembinaannya menelan belanja lebih 1.8 juta euro (RM9.2 juta).
Kolam air pancut terbaharu ibu negara Austria itu dibiayai oleh pihak berkuasa tempatan untuk memperingati 150 tahun sistem saliran moden Vienna yang menyediakan air bersih dari sungai di hutan hijau Alps dan membantu membasmi wabak seperti kolera.
Dicipta oleh kumpulan seni avantgarde Vienna Gelitin, reka bentuk mercu tanda baharu itu melambangkan tanggungjawab komuniti untuk air namun tidak berjaya menarik hati orang awam yang menyifatkannya sebagai rekaan amatur dan tidak sepadan dengan kos pembinaannya.
Selepas dirasmikan pada 24 Oktober lalu oleh Presiden Austria, Alexander Van der Bellen, kolam air pancut dipanggil WirWasser itu dengan pantas menarik kritikan besar-besaran di platform media sosial dengan ramai orang menggelarnya sebagai air pancut paling hodoh yang pernah mereka lihat, malah mendakwa ia merosakkan imej Vienna.
“Reka bentuk kolam air pancut itu kelihatan seperti kanak-kanak berusia 5 tahun yang menciptanya.
“Hari yang menyedihkan untuk Vienna. Ramai artis sebenar boleh melakukan lebih baik dengan kos yang lebih rendah,” kata pengguna laman X.
Di sebalik kritikan itu, kerajaan tempatan yang diketuai oleh Datuk Bandar Sosial Demokrat, Michael Ludwig menegaskan reka bentuk air pancut artistik dan luar biasa dengan berinspirasikan realiti itu berjaya menyampaikan rasa kebersamaan yang penting.-AGENSI