NEW DELHI: Satu kajian mendakwa individu yang menyedut udara tercemar boleh meningkatkan risiko menghidap diabetes jenis 2.
Lapor The Guardian, ia merupakan kajian pertama seumpamanya di India.
Kajian dijalankan di bandar Delhi dan Chennai mendapati menyedut udara dengan jumlah zarah PM2.5 yang tinggi menyebabkan paras gula dalam darah tinggi dan meningkatkan kejadian diabetes jenis 2.
“Apabila menyedut udara, zarah PM2.5 boleh memasuki aliran darah dan menyebabkan pelbagai penyakit pernafasan dan kardiovaskular,” jelas laporan itu.
Kajian itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan berterusan bermula pada 2020 mengenai penyakit kronik di India.
Malah, kajian itu adalah yang pertama memfokuskan pada hubungan antara pendedahan kepada PM2.5 dan diabetes jenis 2 di India.
Dilaporkan, India merupakan antara negara yang mengalami pencemaran udara paling teruk di dunia.
Kajian Lancet mendapati kadar diabetes di India adalah lebih tinggi daripada anggaran sebelum ini, selain menunjukkan bilangan penghidap kencing manis lebih tinggi di bandar berbanding luar bandar negara itu.
Dalam kajian BMJ itu, para penyelidik mengkaji sekumpulan 12,000 lelaki dan wanita di Delhi dan Chennai dari tahun 2010 dan 2017.
Penyelidik juga mengukur paras gula dalam darah mereka secara berkala.
Dengan menggunakan data satelit dan model pendedahan pencemaran udara, mereka berupaya menentukan pencemaran udara di lokaliti setiap peserta berada dalam jangka masa itu.
Para penyelidik mendapati mereka yang terdedah kepada PM2.5 selama sebulan mengakibatkan paras gula darah meningkat, selain pendedahan berpanjangan selama setahun atau lebih menunjukkan peningkatan risiko diabetes.
Penyelidik juga mendapati bagi setiap peningkatan 10μg/m3 dalam purata tahunan tahap PM2.5 di dua bandar, risiko diabetes meningkat sebanyak 22 peratus.