NEW DELHI: Pihak berkuasa di ibu negara India melanjutkan tempoh penutupan sekolah selama seminggu lagi, berikutan tiada tanda menunjukkan pengurangan terhadap pencemaran udara yang melanda bandar itu.
Bandar itu diselubungi kabus asap tebal pada setiap musim luruh, yang antara lain berpunca akibat pembakaran tunggul jerami oleh para petani di negeri-negeri berhampiran.
Malah, New Delhi kerap disenaraikan sebagai bandar paling tercemar di dunia, dengan tahap pencemaran udara serius menyumbang kepada ratusan ribu kes kematian pramatang setiap tahun.
“Memandangkan tahap pencemaran terus kekal tinggi, sekolah rendah di New Delhi akan ditutup sehingga 10 November ini,” kata Menteri Pendidikan Delh, Atishi menerusi aplikasi X.
Kata Atishi, sekolah menengah diberi pilihan untuk beralih ke kelas dalam talian.
Menurut firma pemantau IQAir, New Delhi yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk, sekali lagi disenaraikan sebagai bandar paling tercemar di dunia.
Hampir setiap tahun, Delhi mengenakan sekatan ke atas aktiviti pembinaan dan mengarahkan beberapa jenis kenderaan tidak menggunakan jalan raya apabila pencemaran mencapai tahap serius.
Namun, para pengkritik mendakwa kerajaan secara sengaja mengabaikan sumber utama pertanian yang menjadi krisis kesihatan awam.
Ini kerana golongan petani dari negeri jiran merupakan pelobi pilihan raya yang kuat, selain pemimpin sekian lama menentang gesaan untuk mengenakan denda ketat dan hukuman lain atas tindakan mereka.
Dilaporkan, New Delhi menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia kriket antara Sri Lanka dan Bangladesh, namun terpaksa dibatalkan kerana risiko kesihatan.
Tahap pencemaran udara teruk dijangka berterusan untuk beberapa minggu lagi. – AFP