BRASILIA: Seorang pengaruh Brazil dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami empat serangan jantung semasa prosedur sedut lemak di bahagian lututnya.
Luana Andrade, 29, meninggal dunia sehari selepas prosedur tersebut yang dilakukan oleh doktor swasta dan pakar bius yang diupah oleh keluarganya di Sao Paulo.
Pakar Bedah Plastik dan Presiden Kolej Pembedahan Plastik Brazil, Dr. Diovane Ruaro memberitahu media tempatan, Andrade kelihatan sihat sebelum pembedahan itu.
Punca kematian model pereka fesyen dan bintang realiti itu disenaraikan sebagai embolisme pulmonari selepas mengalami komplikasi semasa pembedahan.
“Pembedahan terganggu dan pesakit menjalani ujian yang mendedahkan trombosis besar-besaran.
“Andrade kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana dia menjalani rawatan ubat dan hemodinamik sebelum disahkan meninggal dunia,” kata Hospital Sao Luiz dalam satu kenyataan.
Sehari sebelum pembedahannya, Andrade menyiarkan tiga swafoto dari gim di Instagram dan peminatnya kini menghantar ucapan takziah pada ruang komen gambar tersebut.
“Sukar dipercaya seorang wanita dengan tubuh badan yang sudah cukup cantik kehilangan nyawanya kerana prosedur kosmetik,” kata salah seorang pengguna media sosial.
Pemain bola sepak Brazil, Neymar dilaporkan turut merakamkan penghormatan kepada Andrade.
“Hari ini saya kehilangan seorang kawan kerana prosedur estetik yang mudah.
“Standard tubuh badan ‘sempurna’ yang mustahil dicapai tetapi sering dipaparkan di Instagram dan di dalam media perlu ditamatkan dengan segera,” katanya.-AGENSI