Pemimpin Belanda mahu masjid, al-Quran diharamkan

Pemimpin Belanda mahu masjid, al-Quran diharamkan

GEERT WILDERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

THE HAGUE: Umat Islam di Belanda melahirkan rasa terkejut dengan kemenangan populis sayap kanan, Geert Wilders pada pilihan raya berikutan beliau sebelum ini menyeru agar masjid dan al-Quran diharamkan di negara itu.

Wilders dan Parti Kebebasan (PVV) mengatasi semua ramalan pada malam Rabu lalu dengan memenangi 37 daripada 150 kerusi di Parlimen Belanda, jauh mendahului gabungan Buruh dan Hijau serta parti konservatif Perdana Menteri, Mark Rutte.

“Keputusan pilihan raya ini mengejutkan umat Islam Belanda. Kami tidak menjangka parti seperti itu dengan program yang bertentangan dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang menjadi begitu besar,” kata Ketua Badan Perhubungan untuk Umat Islam dan Kerajaan (CMO), Muhsin Koktas.

Umat Islam membentuk kira-kira lima peratus daripada penduduk Belanda yang berjumlah hampir 18 juta orang.

Menurut pekerja komuniti, Abessamad Taheri, 54, yang tinggal di kawasan kejiranan berbilang etnik di Schilderswijk, The Hague, keputusan itu merupakan satu tamparan hebat yang perlu diterima umat Islam di negara itu.

“Ia adalah satu tamparan yang perlu saya hadam. Undian itu menghantar mesej berbeza kepada umat Islam namun yang jelas adalah kekecewaan.

“Sebahagian mesejnya adalah ramai yang mengalami xenofobia dan tidak mahu orang asing atau Islam. Tetapi mesej lain ialah ramai sangat kecewa sepanjang 13 tahun pemerintahan Rutte,” katanya.

Bagaimanapun, Abessamad yang juga ahli parti Buruh berkata, dia tidak boleh benar-benar memisahkan keputusan itu daripada semua perkara buruk yang dibawa Wilders tentang mengharamkan tudung dan menutup masjid.

Selepas kemenangan mengejutkan itu, Wilders mengakui mahu menjadi perdana menteri untuk semua rakyat Belanda, tetapi ucapan itu tidak banyak membantu untuk meredakan kebimbangan tentang apa yang mungkin dilakukannya kelak.

Sementara itu kakitangan pemasangan, Mehdi Koc, 41, mengakui terkejut dengan sokongan diterima PVV sambil memberi amaran bahawa Wilders tidak akan melupakan matlamatnya sebelum ini.

“Jika anda berkata ya kepada Wilders sekarang, maka anda perlu berkata ya kemudian apabila dia menutup semua masjid kerana kemudian anda tidak boleh kembali,” kata Mehdi. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya