Pelarian Afghanistan tidur beratap langit

Pelarian Afghanistan tidur beratap langit

PELARIAN Afghanistan tinggal di kem sementara di kawasan sempadan Torkham.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Rakyat Afghanistan yang melarikan diri dari Pakistan untuk mengelak penangkapan dan pengusiran kini terpaksa tidur di kawasan terbuka tanpa tempat tinggal serta keperluan asas sempurna yang dikhuatiri bakal mencetus krisis kemanusiaan baharu.

Menurut agensi bantuan, rakyat Afghanistan yang tiba dari Pakistan tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai termasuk kekurangan bekalan makanan, air minuman dan tandas sebaik sahaja menyeberangi sempadan ke tanah air mereka.

Beratus ribu rakyat Afghanistan meninggalkan Pakistan sejak beberapa minggu lalu ketika pihak berkuasa mencari warga asing yang berada di negara itu secara haram dengan membuat pemeriksaan ketat dokumen pendatang dari rumah ke rumah.

Pakistan menetapkan 31 Oktober sebagai tarikh akhir untuk meninggalkan negara itu atau mereka akan ditangkap sebagai sebahagian daripada tindakan tegas anti-migran baharu.

Warga Afghanistan meninggalkan Pakistan dari dua lintasan sempadan utama di Torkham dan Chaman dengan Taliban dilaporkan menubuhkan kem untuk orang ramai tinggal sementara menunggu dipindahkan ke tempat asal mereka di Afghanistan.

Agensi bantuan Pertubuhan Bagsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Torkham tidak menyediakan tempat perlindungan yang baik dengan akses terhad kepada air minuman, ketiadaan sumber pemanasan selain api terbuka dan masalah sanitasi yang kurang baik.

Seorang pelarian, Kayal Mohammad yang sebelum ini tinggal di bandar Peshawar selama 17 tahun berkata, dia tidak dibenarkan membawa apa-apa barangan dan keperluan rumah bersamanya ketika melintasi sempadan.

“Anak perempuan saya kerap menangis kerana kesejukan. Saya minum teh untuk sarapan dari botol plastik yang dipotong dan tidur tanpa selimut.

“Ada keluarga yang tiada apa-apa di sini, tiada tanah, tiada rumah. Mereka hanya tinggal di bawah langit yang terbuka. Tiada siapa yang membantu.

Pegawai Organisasi Bantuan dan Pembangunan World Vision International, Thamindri Da Silva berkata, kebanyakan orang berpindah ke dasar sungai yang kering sebaik sahaja mereka melalui pendaftaran dan pemprosesan awal di pusat transit.

“Orang ramai memasuki Afghanistan dengan hanya membawa beberapa helai pakaian kerana jam tangan, barang kemas dan wang tunai mereka diambil di sempadan Pakistan,” tambahnya.

Pengarah Save the Children, Arshad Malik turut menegaskan, ramai daripada penduduk yang pulang tanpa membawa dokumen pendidikan hingga menyukarkan mereka untuk meneruskan pembelajaran.

Golongan pelajar sekolah turut berdepan masalah apabila Afghanistan menggunakan bahasa Dari dan Pashto sementara pelarian belajar bahasa Urdu dan Inggeris di Pakistan.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya