PBB akhirnya capai resolusi gesa gencatan kemanusiaan di Gaza - Utusan Malaysia

PBB akhirnya capai resolusi gesa gencatan kemanusiaan di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akhirnya mencapai resolusi menggesa agar gencatan kemanusiaan segera dan dilanjutkan dalam pertempuran antara Israel dan Pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Ini bagi membolehkan ‘bilangan hari yang mencukupi’ untuk akses bantuan kemanusiaan di wilayah terkepung itu.

Majlis 15 anggota itu akhirnya mengatasi kebuntuan yang menyaksikan empat percubaan tidak berjaya untuk mengambil tindakan bulan lalu.

UNSC menerima pakai resolusi yang juga menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan yang dipegang oleh Hamas.

Amerika Syarikat (AS), Rusia dan Britain yang merupakan kuasa veto majlis, berkecuali daripada mengundi mengenai resolusi yang digubal oleh Malta, sementara baki 12 ahli lain mengundi menyokong.

Rusia gagal dalam bidaan saat akhir untuk meminda resolusi bagi memasukkan gesaan untuk gencatan kemanusiaan segera yang membawa kepada pemberhentian permusuhan.

Kebuntuan UNSC sebahagian besarnya tertumpu kepada sama ada mahu meminta gencatan kemanusiaan atau gencatan senjata.

Gencatan kemanusiaan biasanya dianggap kurang formal dan lebih pendek berbanding gencatan senjata yang perlu dipersetujui oleh pihak yang bertelagah.

AS menyokong idea gencatan kemanusiaan, manakala Rusia mendesak gencatan senjata.

Resolusi itu juga tidak mengecam tindakan Hamas iaitu titik perbalahan bagi sekutu Israel, AS dan Britain.

UNSC menyeru untuk gencatan dan koridor kemanusiaan yang mendesak dan berpanjangan di seluruh Semenanjung Gaza untuk beberapa hari yang mencukupi untuk membolehkan akses kemanusiaan penuh, pantas, selamat dan tanpa halangan.

Ia adalah percubaan kelima UNSC untuk mengambil tindakan sejak pasukan pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

UNSC sebelum ini telah melakukan cubaan bertindak sebanyak empat kali dalam dua minggu pada Oktober lalu.

Rusia gagal dua kali untuk mendapatkan undi minimum yang diperlukan, AS memveto resolusi yang digubal oleh Brazil dan Rusia serta China memveto resolusi yang digubal oleh AS.

Resolusi yang diterima pakai pada Rabu menuntut pematuhan undang-undang antarabangsa, khususnya perlindungan orang awam, terutama kanak-kanak.

Ia juga menyeru semua pihak untuk tidak menafikan orang awam di Gaza daripada perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup mereka, mengalu-alukan penyampaian bantuan awal yang terhad tetapi menggesa agar ia ditingkatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya