SINGAPURA: Memakai atau menayangkan secara umum logo berkaitan perang Palestin-Israel tanpa permit di Singapura menjadi satu kesalahan, menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA).
MHA dalam amarannya menegaskan, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga S$500 (RM1,722) di bawah Akta Logo Kebangsaan Asing (Kawalan dan Paparan) 1949.
Undang-undang berkenaan merangkumi semua logo kebangsaan asing termasuk bendera dan kain rentang mana-mana negara, malah pengembara asing yang memakai logo seumpamanya boleh dinafikan kemasukan ke Singapura.
MHA berkata ia sedar bahawa pakaian dan barangan tertera simbol atau logo kebangsaan asing berkait perang Israel-Palestin sedang dijual dalam talian, dipakai atau ditayangkan oleh orang awam.
Sehubungan itu, ia menerima banyak pertanyaan mengenai sama ada tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang melakukannya.
Tinjauan yang dilakukan akhbar The Straits Times mendapati barangan seumpamanya, yang menyokong kedua-dua pihak bertelagah, dijual dalam talian menerusi pelbagai media sosial dan laman sesawang e-dagang.
MHA, dalam nota nasihatnya, berkata perang Palestin-Israel yang berlaku sekarang adalah isu yang mempengaruhi emosi dan menasihati orang ramai supaya jangan menayangkan atau memakai barangan berkaitan konflik berkenaan.
Tegas MHA, perbuatan terutama yang menggalakkan atau menyokong menerusi pemakaian baju atau barangan yang tertera logo kumpulan pejuang seperti Hamas atau sayap tenteranya, Briged al-Qassam, dilarang sama sekali.
Bagi yang mahu membantu mangsa konflik itu, MHA berkata mereka boleh menyumbang kepada pihak yang diamanahkan mengutip sumbangan dana atau derma bagi tujuan bantuan kemanusiaan.
Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP) turut mengutuk kekejaman terhadap orang awam dalam perang tersebut.
Dalam pada itu, lapan laporan polis mengenai kenyataan berunsur kebencian terhadap masyarakat Yahudi dan Islam dibuat pada bulan lalu.
Sementara itu, perhimpunan di Sudut Penceramah berhubung isu berkaitan perang Palestin-Israel adalah menyalahi undang-undang dan dilarang sama sekali.
Menteri bagi Hal Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya di Parlimen pada Isnin, berkata dalam tempoh tiga tahun ini, tujuh permohonan seumpamanya di Sudut Penceramah Hong Lim Park ditolak.
Katanya, lima daripada permohonan itu adalah khusus bagi acara berkaitan perang Palestin-Israel.