TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan Barat akan menjadi mangsa seterusnya jika Hamas tidak dibanteras.
Netanyahu yang masih paranoid tentang konfliknya dengan Hamas berkata, amat penting bagi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menumpaskan kumpulan yang bertanggungjawab ke atas serangan pada 7 Oktober lalu kononnya demi untuk menyelamatkan dunia bertamadun.
“Jika kita tidak menang sekarang, maka Eropah adalah mangsa seterusnya dan kemudian AS.
“Kerana itulah kami perlu menang, bukan sahaja untuk melindungi Israel. Kita juga perlu menang untuk menjaga Asia Barat. Kita harus menang demi dunia bertamadun.
“Itulah pertempuran yang kami sedang hadapi, dan ia sedang dilancarkan sekarang. Tiada pengganti untuk kemenangan itu katanya kepada saluran Fox News.
Bercakap kepada rakyat AS, beliau turut mendakwa peperangannya dengan Hamas sebagai barisan hadapan menentang kebiadaban yang boleh membahayakan seluruh dunia.
“Perjuangan kami adalah perjuangan anda. Setiap rakyat AS, setiap negara bertamadun akan berada dalam bahaya. Kita mesti menang. Kemenangan total,” tambahnya.
Netanyahu turut menuduh perjuangan diketuai oleh Iran termasuk Hamas di Gaza, Hezbollah di Lubnan dan Houthi di Yemen yang dianggapnya sebagai ‘paksi keganasan’ akan membawa Asia Barat serta dunia kembali ke zaman gelap.
Lebih mengejutkan, Netanyahu malah mendakwa tentera Israel turut berjuang demi rakyat Gaza yang kuasai oleh kumpulan zalim yang menganiaya dan membawa mereka kepada pertumpahan darah, kemiskinan serta kesengsaraan sejak sekian lama.
Ketika IDF membedil Gaza, Israel mendakwa menemui pangkalan Hamas di bawah sebuah hospital yang menjadi tempat tebusan ditahan dengan rakaman kawasan itu dikeluarkan pada Isnin lalu.
Ketika dunia mengecam kehilangan nyawa yang tidak berdosa di Gaza, Netanyahu masih berdegil enggan bersetuju dengan sebarang gencatan senjata sehingga semua tebusan Israel dilepaskan, malah mendakwa keamanan hanya boleh dicapai jika Hamas dilenyapkan.