NEW YORK: Seorang model berketurunan Amerika-Taiwan menyuarakan kemarahan terhadap tindakan seorang pereka fesyen terkenal yang memuat naik gambar dirinya diubah suai melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) hingga menjadikan wajahnya kelihatan lebih cerah.
Lapor The Guardian, Shereen Wu, 21, mendakwa Michael Costello memuat naik gambar pentas peragaan dari pertunjukan fesyen Los Angeles di laman Instagram.
Gambar itu memaparkan Shereen yang berpakaian gaun hitam sedang berjalan di pentas peragaan di pertunjukan fesyen tersebut.
Namun, wajah Shereen diubah suai sehingga dia kelihatan seolah-olah wanita berkulit putih.
“Saya menjangkakan akan dibayar selepas membuat penampilan di pentas itu.
“Tetapi saya rasa tidak mendapat pendedahan itu kerana ia merupakan gambar yang diubah suai.
“Wajah saya sudah diubah, ia tidak dilakukan oleh jurusolek, pendandan rambut atau jurugambar. Itulah yang membuatkan saya sangat berang,” katanya.
Insiden itu yang dimuat naik di aplikasi TikTok ditonton sebanyak 1.8 juta kali.
Sementara itu, Costello menerusi kenyataan dimuat naik di Instagram menafikan dirinya mengubah suai gambar model berkenaan.
Beliau mendakwa gambar itu diubah oleh peminat dan dihantar kepadanya oleh seorang sumber namun dia bertindak berkongsi imej terbabit di laman media sosial.
“Saya tidak fikir sebelum berkongsi semula gambar itu di Instagram kerana ketika itu emosi saya tidak menentu.
“Saya hanya berkongsi semula semua hantaran dan gambar,” jelas kenyataan itu.
Dilaporkan, Costello pernah bekerja dengan beberapa selebriti terkenal termasuk Beyoncé, Jennifer Lopez dan Celine Dion.