LONDON: Menteri Luar baharu Britain, David Cameron mengadakan perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai konflik Israel-Hamas yang ketika ini sudah mengorbankan ribuan nyawa.
Lapor BBC, perbincangan itu diadakan antara Cameron dan rakan sejawatnya dari AS, Antony Blinken.
Berdasarkan hantaran dimuat naik di media sosial pejabat Kementerian Luar Britain, Cameron dan Setiausaha Negara AS itu berbincang mengenai `hak Israel untuk mempertahankan diri dan keperluan `jeda kemanusiaan’ bagi membolehkan bantuan masuk ke Gaza dengan selamat.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyatakan sokongan mereka kepada Ukraine, selain mengulangi hubungan bilateral yang kukuh antara UK dan AS.
Sementara itu, Reuters melaporkan Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa Blinken dan Cameron menekankan kesinambungan dalam hubungan AS-UK.
Malah, jelas laporan itu, kedua-dua negara juga menekankan kepentingan terhadap keselamatan serantau dan global.
Semalam, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak memecat Menteri Dalam Negeri, Suella Braverman berikutan beberapa siri spekulasi mengenai masa depannya.
Braverman mencetus kemarahan di Downing Street selepas mengkritik cara polis mengendalikan protes pro-Palestin di London.
James Cleverly, yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Luar, dilantik untuk menggantikan Braverman.
Bekas Perdana Menteri, David Cameron pula diumumkan sebagai Menteri Luar yang baharu, mengambil tempat Cleverly.