Masalah alat gerudi jejas usaha selamatkan 41 lelaki terperangkap dalam terowong - Utusan Malaysia

Masalah alat gerudi jejas usaha selamatkan 41 lelaki terperangkap dalam terowong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SILKYARA: Usaha menyelamatkan 41 lelaki yang terperangkap dalam terowong lebuh raya di Himalaya, India selama hampir dua minggu terjejas akibat masalah peralatan penggerudian.

Namun, pegawai berkata, kerja menyelamat akan diteruskan tidak lama lagi.

Pekerja pembinaan dari beberapa negeri termiskin di India terperangkap dalam terowong sejauh 4.5 kilometer di negeri Uttarakhand yang runtuh sejak 12 November lalu.

Pihak berkuasa berkata, mangsa dilaporkan selamat dengan akses kepada cahaya, oksigen, makanan, air dan ubat-ubatan.

Usaha membawa mereka keluar selepas kerja penggerudian bongkah batu dan logam untuk memasukkan paip pemindahan tergendala berikutan kesukaran akibat runtuhan dalam terowong.

Pasukan penyelamat menjangkakan kerja penggerudian selesai lewat semalam, tetapi terpaksa menangguhkannya selepas platform mesin penggerudian yang dipasang rosak dan paip logam ditemui tersangkut pada mesin itu yang memerlukannya dipasang semula.

Menurut pegawai kanan projek terowong, Bhaskar Khulbe, kira-kira 15 meter runtuhan berbaki untuk digerudi dan kajian menggunakan radar penembusan tanah menunjukkan tiada halangan logam untuk lima meter yang seterusnya.

“Kami amat positif dalam hal ini. Ini bermakna penggerudian kami lancar dan kami masih lagi berharap,” katanya sambil memaklumkan kerja penggerudian akan diteruskan lagi pada pukul 11.30 pagi (waktu tempatan).

Usaha menyelamat membabitkan kerja menolak paip yang cukup lebar untuk menarik keluar mangsa yang terperangkap menggunakan pengusung beroda.

Menurut klip video yang dikeluarkan pihak berkuasa, pekerja penyelamat melakukan stimulasi pemindahan dengan masuk ke dalam paip dan ditarik keluar menggunakan pengusung.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, pelan kedua untuk menggerudi secara menegak dari atas bukit juga sedang dijalankan dan mesin penggerudian sedang dipasang.

Semua mangsa yang terperangkap memperoleh makanan yang sudah dimasak sejak paip talian hayat yang lebih besar ditolak awal minggu ini malah mereka turut dibekalkan 200 roti, lentil dan kari sayur campur.

Lebih daripada 12 doktor termasuk pakar psikiatri bersiap sedia di lokasi kejadian dan sentiasa berhubung serta memantau kesihatan kesemua mangsa.

Mereka diberitahu untuk melakukan senaman yoga ringan, bersiar-siar di ruang dua kilometer lokasi mereka terperangkap dan terus bercakap antara satu sama lain.

Sementara itu, seorang pakar psikiatri, Rohit Gondwal berkata, mereka juga sedang mempertimbangkan untuk menghantar kad permainan dan papan permainan seperti ludo dan catur.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya