SILKYARA: Penyelamat di India menjangkakan hanya ada enam atau tujuh meter lagi sebelum pasukannya menghampiri lokasi 41 lelaki terperangkap dalam terowong lebuh raya yang runtuh di Himalaya lebih dua minggu lalu.
Sehubungan itu, menurut pegawai penyelamat, pihaknya yakin dapat meneruskan penggerudian sebelum mengeluarkan mereka hari ini (Selasa).
Mereka adalah pekerja bergaji rendah dari negeri termiskin di India, terperangkap dalam terowong sepanjang 4.5 kilometer (km) di negeri Uttarakhand selepas ia terowong lebuh raya runtuh pada 12 November.
Pelombong khas yang dipanggil ‘pelombong tikus’, dibawa masuk pada Isnin lalu untuk menggerudi melalui batu dan kerikil dengan menggunakan tangan selepas jentera gagal mencapai kemajuan yang baik semalaman, kata pegawai.
Sejak semalam, ‘pelombong tikus’ dibawa masuk untuk menembusi lapisan batu dan kerikil dengan tangan, yang mana usaha itu menunjukkan kemajuan selepas dilakukan semalaman, kata pegawai.
“Hanya berbaki kira-kira enam atau tujuh meter sebelum sampai kepada mangsa,” kata pegawai kanan yang mengetuai pasukan penyelamat, Deepak Patil.
Katanya, lebih 50 meter daripada 60 meter runtuhan dianggarkan sudah ditembusi.
“Pasti, 100 peratus,” katanya ketika ditanya kemungkinan mangsa boleh dikeluarkan lewat hari ini.
Mangsa yang terperangkap mendapat sumber makanan, air, cahaya, oksigen dan ubat-ubatan melalui paip tetapi usaha menggali terowong untuk mengeluar dan menyelamatkan mereka dengan peralatan penggerudian gagal berikutan berdepan beberapa masalah.
Semalam, penyelamat membawa masuk ‘pelombong tikus’ pakar dalam kaedah primitif, walaupun berbahaya dan kontroversi tetapi digunakan di kebanyakan tempat untuk melombong arang batu melalui lubang sempit.
Istilah ‘pelombong tikus’ diperoleh kerana persamaan mereka dengan cara tikus menggali lubang.
Terowong itu sebahagian daripada lebuh raya Char Dham bernilai AS$1.5 bilion atau RM7 bilion, salah satu projek Perdana Menteri, Narendra Modi, yang paling bercita-cita tinggi, bertujuan menghubungkan empat tapak kuil Hindu melalui jaringan jalan sepanjang 890km.
Pihak berkuasa tidak menyatakan apa yang menyebabkan terowong runtuh tetapi wilayah itu kerap terdedah kepada tragedi tanah runtuh, gempa bumi dan banjir. – REUTERS